PETALING JAYA: Selepas aksi lucu dan sedondon di Aidilfitri, kini tular pula gambar-gambar pasangan sehati sejiwa dengan gaya umpama mereka sedang berdansa mendapat perhatian ramai. Menerusi hashtag #gambarrareraya, banyak rakaman detik menarik dimuat naik di Facebook Norman Danish sejak Isnin sehingga dikongsikan ramai pengguna laman sosial itu. Difahamkan, ia merupakan satu ‘permainan’ bagi memperlihatkan keberanian dan ‘sporting’ pengguna Facebook berkongsi gambar mereka menyambut Aidilfitri di samping menghargai pasangan masing-masing. Ahad lalu, pengguna Norman Danish di akaun Facebooknya berkata: “Mana gambar rare korang? Meh letak di (ruangan) komen. Gambar yang cantik dan mendapat like tinggi akan dikira sebagai pemenang. Menurut Norman Danish, ‘permainan’ itu akan tamat pada bila-bila masa dalam tempoh 48 jam dan lebih 30 pengguna laman sosial berani berkongsi gambar ‘rare’ mereka di hari raya dengan gaya masing-masing seperti sedang berdansa bersama pasangan. Kebanyakan gambar si lelaki yang segak berbaju Melayu lengkap dengan songkok dan sampin akan mengangkat pasangan mereka yang ayu berbaju kurung. Difahamkan, kebanyakan mereka yang menyertai 'permainan' ini adalah pasangan suami isteri. Norman Hakim dan Memey Suhaiza. Bagaimanapun, terdapat gambar di mana seorang wanita dilihat begitu ‘kuat’ apabila bergambar dengan gaya mengangkat pasangan lelakinya. Ada wanita yang sekadar merangkul leher si lelaki sedangkan pasangannya itu tidak mengangkatnya, seolah-olah sedang bergayut. Rata-rata gambar memikul pasangan dengan memegang bahagian kaki dan belakang badan, tetapi ada juga yang memikul pasangan di bahu. Aksi 'sporting' dua beradik. Antara yang menarik perhatian apabila seorang lelaki yang dikatakan mengangkat kedua-dua isterinya dengan masing-masing di tangan kanan dan kiri. Ini termasuk satu keluarga di mana suami mengangkat isterinya, dan empat kanak-kanak dipercayai anak mereka turut berpasangan melakukan aksi yang sama. Malah ada dua beradik lelaki juga mencuba nasib meniru aksi berkenaan tetapi dengan gaya spontan dan mencuit hati. Bagaimanapun, bukan orang awam sahaja yang mencuba nasib, malah pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza turut dilihat beraksi seperti sedang berdansa. Terbaharu, Norman Danish menerima kiriman gambar daripada Nor Amyliana yang menunjukkan gambarnya bersama suami dengan kedua-duanya terpaksa menggunakan kerusi roda akibat patah kaki kanan selepas mengalami kemalangan. Walaupun dalam keadaan begitu, namun pasangan tersebut masih menunjukkan keceriaan menyambut hari lebaran bersama pasangan. Siapalah pemenang #gambarrareraya ini agaknya? Sama-sama kita nantikan keputusannya.