KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengamuk dan mengugut hendak membunuh dua anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Suang Prai, Manggatal pada Selasa. Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek, 30, bertindak mengurung dua anak perempuannya yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam bilik dan mengacukan sebilah pedang samurai ke leher mereka. Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada sepupu suspek selepas mendapati lelaki tersebut mengurung anak perempuannya di sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut selain terhidu bau asap dari bilik suspek. "Sepupu suspek ternampak suspek membakar sesuatu selain sedang mengacukan sebilah pedang samurai ke leher anaknya sambil menjerit supaya sepupunya itu tidak masuk campur," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan kemudian mengepung kawasan itu bagi memujuk suspek menyerah diri serta tidak mencederakan kedua anaknya. "Beberapa minit kemudian suspek membawa keluar kedua anaknya dan menyerahkan mereka kepada seorang anggota keluarganya. Suspek menyerah diri kepada polis," katanya. Chandra berkata siasatan awal mendapati punca suspek mengamuk adalah disebabkan kecewa kerana bekas isterinya yang berada di Johor tidak pulang menyambut Hari Raya bersama-sama. Bagaimanapun kedua-dua adik-beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis turut merampas senjata seperti pedang samurai berukuran 40cm dan pisau pemotong sayur. Suspek yang didapati positif dadah hasil saringan ujian air kencing itu direman hingga 1 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-Bernama