suria

Saya Cuba Patah Balik Cari Dompet Tapi...

Mohd Zukri (tengah) dan isteri ketika bertemu Mohd Hafiz di Dungun untuk mengambil semula dompetnya yang hilang, Khamis.

PETALING JAYA: Tidak semua beg duit yang tercicir akan selamat sampai ke tangan pemiliknya semula!

Tetapi, Mohd Zukri Kasiran bernasib baik apabila dompetnya yang mempunyai wang tunai hampir RM1,000 dan tercicir di Lebuhraya Pantai Timur II (LPT 2) berjaya sampai ke tangannya dalam keadaan baik.

Mohd Zukri, 39, berkata beliau berterima kasih kepada Mohd Hafiz Ismail, 27, yang terjumpa dompetnya di LPT 2, dekat Kemasik, dan bertindak menghebahkannya di Facebook.

"Bila sedar dompet saya hilang, saya terus buat laporan polis dan berserah saja kepada-Nya.

"Selepas dapat tahu seseorang mahu serahkan dompet saya yang ditemuinya, saya terkejut sebab tak sangka masih ada lagi orang yang baik dan jujur zaman sekarang," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Mohd Zukri yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dompetnya  tercicir pada hari raya ketiga ketika beliau dan isterinya dalam perjalanan dari Kota Bahru ke Kuantan menaiki motosikal.

Katanya, sebaik menyedari dompetnya hilang, beliau berpatah balik ke lokasi berkenaan tetapi kecewa kerana ia tidak dijumpai.

Beliau menambah, di dalam dompetnya terdapat kad pengenalan, lesen, kad bank dan duit lebih kurang RM1,000 untuk perbelanjaan harian.

"Saya patah balik ke dua tempat yang saya berhenti sekejap untuk berehat, tapi tak ada," katanya.

Sementara itu Mohd Hafiz berkata, beliau terpanggil untuk memuat naik posting tersebut kerana faham situasi seseorang yang kehilangan dompet.

"Saya faham banyak benda kena buat bila hilang dompet, duit pun banyak nak pakai terutama pada hari raya.

"Memang saya harap dapat serah sendiri kepada pemiliknya, tak kisahlah saya hantar atau dia datang ambil daripada saya di Dungun," katanya yang bekerja sebagai inspektor kesihatan di Baling, Kedah.

Mohd Hafiz berkata, beliau terlihat dompet itu ketika lalu di LPT 2 kira-kira pukul 6 petang Selasa ketika menaiki kereta yang dipandu rakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak segera memuat naik posting pada hari yang sama kerana mahu pergi memancing di kawasan yang tiada liputan rangkaian telefon.


LPT 2, dompet

Artikel Sebelum

Pil 'Facebook' Disiasat

Artikel Lain