suria

Warga Emas Gigih Kayuh Beca Walaupun Tangan Kudung

KOTA BHARU: Walaupun tangan kanannya kudung, namun kecacatan itu tidak menjadi penghalang buat Abdul Rahman Konok untuk mengayuh beca sama seperti manusia normal yang lain.

Abdul Rahman, 76, yang kehilangan tangan kanan ketika masih remaja akibat kanser, tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang kepada dirinya untuk terus mengayuh beca demi mencari sesuap rezekiuntuk keluarganya.

Walaupun menyedari beca tidak lagi popular selepas digantikan dengan pelbagai pengangkutan awam yang lain, namun Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Perol di sini, tetap mengayuh basikal sejauh kira-kira 25 kilometer sehala untuk mencari pelanggan di sekitar bandar ini.

"Pak cik mula mengayuh beca ketika usia masih belasan tahun lagi dan inilah sumber rezeki utama bagi menyara anak dan isteri sejak dahulu lagi.

"Dulu ramai yang menggunakan khidmat beca ini,namun lama-kelamaan ia seakan tidak diperlukan lagi. Sebelum ini pakcik sudah jarang menerima pelanggan dan hanya diminta menghantar bekalan ikan atau sayur-sayuran sahaja di sekitar Kota Bharu," katanya ketika ditemui Bernama di perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah, di sini.

Meskipun usianya sudah begitu lanjut dan layak bermain dengan cucu di rumah sahaja, namun selagi kudrat masih ada tugas mencari rezeki tetap ditunaikan.

Walaupun kadangkala tidak mendapat sesenpun kerana persaingan, namun beliau berpegang dengan keyakinan rezeki itu datang daripada usaha yang gigih.

"Dahulu pendapatan sebagai pengayuh beca dikira lumayan tetapi sekarang ini kalau dapat RM10 atau RM20 sehari sudah dikira bernasib baik. Kebanyakan pelanggan biasanya memberi upah lebih, mungkin kerana kasihan tetapi pakcik tidak kisah asalkan kerja tetap dilakukan.

"Memang ramai orang merasa kasihan dan pelik dengan keadaan pakcik yang dilihat seolah-olah masih gagah mengayuh beca walaupun usia sudah lanjut tetapi ini memang kehendak pakcik, katanya yang hanya bercuti pada Jumaat untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Abdul Rahman berkata, pekerjaan itu sahaja yang mampu dilakukannya kerana tidak berpelajaran akibat kesempitan hidup keluarganya.

Kelantan, Kudung, Warga Emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain