suria

Kenapa Tak Cuci 'Hello Kitty' Lagi?

PETALING JAYA: Pemilik baju raya Hello Kitty yang kisahnya menjadi tular selepas seorang lelaki bergelar Datuk sanggup menawarkan ribuan ringgit untuk mendapatkan busana itu kini dalam dilema.

Usahawan kosmetik, Yus Amina Mohd Zawizah, 27, meluahkan perasaannya menerusi rakaman video secara langsung yang dimuat naik di Facebooknya pada Selasa.

Lebih dikenali sebagai Afina, beliau mendedahkan ditegur beberapa orang yang mula mengenalinya disebabkan kisah tular busana itu sehingga digelar sebagai ‘Kak Hello Kitty’.

“Tadi pergi stesen minyak, orang panggil Kak Hello Kitty dan tanya mana baju Hello Kitty. Tak kan hari-hari nak pakai baju Hello Kitty.

“Sama juga masa berhenti untuk pergi beli barang, orang masih bertanyakan soalan sama mengenai baju raya Hello Kitty,” katanya dalam dialek Kelantan.

Menerusi rakaman berdurasi kira-kira tiga minit, Afina berkata, walaupun berasa dilema tetapi beliau mungkin boleh menerima keadaan itu disebabkan watak kartun tersebut merupakan kesukaan anak perempuannya, Putri Jeliyta Ai Rich Mohd Afizi, dua tahun.

“Saya tak tahulah... rasa nak pakai purdahlah pula. Tapi mungkin saya boleh terima (keadaan) sebab itu minat anak saya,” katanya.

Sejak gambarnya bersama anak berbaju raya bermotifkan Hello Kitty dimuat naik di akaun Facebooknya sehingga tular, bertalu-talu mesej yang diterimanya bertanyakan tentang busana berkenaan.

Namun reaksi netizen yang luar biasa membuatkan beliau terpaksa menyimpan pakaian itu dengan lebih berhati-hati.

“Sejak baju Hello Kitty yang dipakai hari (raya) itu, ramai yang tanya nak beli, tanya macam-macam banyak sangat, sampai sekarang tak basuh. Takut nak jemur,” kata Afina secara berseloroh, mengakhiri rakaman video tersebut.

Terdahulu, kesanggupan seorang lelaki bergelar Datuk Z untuk membeli baju raya bermotifkan Hello Kitty pada harga beribu ringgit didedahkan apabila ia demi memenuhi permintaan cucu kesayangannya yang disahkan menghidap kanser hati.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali berbincang dengan Datuk Z, dia akhirnya bersetuju membantu dengan mencadangkan untuk membuat satu lagi baju raya Hello Kitty yang 100 peratus sama seperti yang dipakai bersama anak perempuannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain