suria

Pedihnya Ditertawa Kerana Riyal Qatar

SYAWAL sudah hampir masuk minggu kedua. Betapa cepat masa berlalu. Krisis di Qatar pula kini hampir mencecah sebulan.

Alhamdulillah semua sahabat, dan aku agak juga warganegara Malaysia yang lain yang bekerja di sektor berlainan, semuanya selamat pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri.

Tidak ada yang terkandas seperti yang digembar-gemburkan oleh satu dua pihak sebelumnya. Jika ada pun, berkemungkinan disebabkan masalah tiket atau cuti. Bukan disebabkan krisis.

Raya kali ini, aku dapat pulang ke Ipoh. Berkesempatan beraya dengan Opah yang sudah mencecah 93 tahun umurnya pada tahun ini.

Seperti yang kau orang boleh agak, soalan-soalan mengenai Qatar menghujani aku setiap kali bertemu dengan sanak saudara.

Itu soalan kegemaran pertama yang sering diajukan sepanjang beraya. Soalan kegemaran kedua mereka ialah bagaimana sambutan beraya di Qatar? Sama meriahkah dengan Malaysia?

Amboi. Susah betul soalannya. Tetapi, betullah soalan itu. Mesti ramai yang nak tahu bagaimana suasana Aidilfitri di sana.

Memang lazim bagi rakyat Malaysia suka membanding-bandingkan. Sedangkan politkus pun membanding harga minyak dan GST dengan negara lain, apatah lagi rakyat jelatanya, ya tak?

Hakikatnya, mana nak sama suasana hari raya di negara sendiri dengan di tempat orang. Perbezaan itu tidak perlu diperjelaskan. Tidak tertakluk kepada Qatar sahaja, malahan di negara lain pun, kemeriahannya berbeza.

Selain keseronokan dapat berjumpa keluarga, sanak-saudara dan sahabat andai, kemeriahan yang benar-benar membezakannya adalah: makanan.

Membesar dengan pelbagai jenis juadah di hari raya, itulah kemeriahan yang sukar ditukar ganti. Dapat pula menjamu selera dengan anak dan isteri, ibu dan ayah atau saudara mara. Kenikmatan itu cukup sempurna.

Sebagai sebuah negara yang dipenuhi dengan warga Arab, India, Pakistan dan Bangladesh, kau boleh bayangkan hari pertama raya sudah menikmati beriani. Jika tidak pun tose masala atau ayam mandy.

Silap-silap haribulan, itulah makanan raya kau sepanjang minggu pertama. Memang bercucuran air matalah beb! Tidak ada lagu raya, kuih raya dan kaum keluarga. Meriah bagaimanapun di luar sana, kau tetap sepi.

Pada 23 Jun yang lalu, hari kedua aku berada di Malaysia, seusai berbuka, aku, isteri dan anak-anak bergerak ke pasar raya di Nilai. Tujuannya hanya dua - untuk membeli sedikit lagi persiapan hari raya dan menukar duit riyal Qatar ke ringgit Malaysia.

Beraturlah aku di depan kedai pengurup wang. Tak sangka ramai pula yang mahu menukar duit. Sedang beratur itu aku perasan di paparan digital, kolum untuk riyal Qatar dimerahkan.

Kaget juga. Adakah tidak boleh menukar duit? Aku bermonolog sendirian. Tetapi aku cuba menepis tanggapan itu. Nak raya ni, kalau tak boleh tukar masalah besar jadinya.

Sampai sahaja giliran, aku menyerahkan not-not riyal Qatar yang berlipat dua kepada yang bertugas. Terus sahaja dia membeliakkan matanya.

"Kami tak terima riyal Qatar lagi," kata dia.

"Eh kenapa?" tanya aku, terkejut.

"Kau tak tahu ke? Kan sana ada krisis besar?" kata dia sambil ketawakan aku.

"Saya dari sanalah. Mana ada apa-apa," aku cuba menangkis.

"Kau duduk sana takkan kau tak tahu krisis itu?" soal dia balik. Masih ketawakan aku.

"Aku tahu ada krisis. Tapi mana ada kesan apa-apa? Semua urusan berjalan macam biasa. Malahan nilai matawang Qatar juga tidak terjejas. Kau periksalah. Mana ada penurunan? Kalau benar krisis itu besar, aku dah tak sampai dah ke Malaysia. Nak hantar duit dari sana pun tak boleh," panjang lebar aku jelaskan.

"Tak, tak. Kami tidak terima wang Qatar!"

Hampa dan marah betul aku malam itu. Hampa kerana tidak dapat tukar duit. Bermakna aku terpaksa cari alternatif lain.

Marah, kerana dia ketawakan aku. Aku boleh faham kalau semua pengurup wang tidak mahu membeli wang Qatar, tapi perlukan dia gelakkan aku?

Sudahlah nak raya, duit tak boleh tukar, kena gelakkan pula! Cis!


Qatar, riyal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain