suria

Pintu Masuk Dikawal Elak Penularan Rabies

Douglas Uggah Embas (dua dari kiri) memerhatikan seorang pegawai memberikan vaksin kepada seekor anjing.

SERIAN: Anggota pasukan keselamatan iaitu polis dan tentera diarahkan untuk mengawal sempadan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia bagi menyekat penularan wabak anjing gila atau rabies.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata biarpun setakat ini punca penularan virus tersebut belum dapat dipastikan, langkah pencegahan perlu diambil.

"Saya dah baca laporan itu, bagi pihak kerajaan Sarawak kami pantau dari mana punca penularan virus berkenaan, sebab itu kami arahkan polis dengan tentera kawal pintu masuk kita (Sarawak) dengan Kalimantan kerana ada kemungkinan merebak dari sana," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses vaksinasi anjing dan kucing di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dekat sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim.

Uggah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang tidak menolak kemungkinan penularan virus rabies yang menjangkiti tiga kanak-kanak di Serian, Sarawak dipercayai berpunca dari Kalimantan, Indonesia.

Ketika diminta mengulas mengenai proses vaksinasi itu, Uggah berkata Sarawak mendapat nasihat dari peringkat persekutuan serta menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama ketika mengawal penularan wabak sama di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang beberapa tahun lepas.

"Kami harap dengan langkah yang mantap ini, dengan tindakan cepat yang diambil oleh semua agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kesihatan serta NGO wabak ini dapat dikawal dengan seberapa yang boleh.

"Dengan nasihat daripada peringkat persekutuan serta pengalaman mereka atas masalah ini di Semenanjung beberapa tahun lepas di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang kami yakin SOP yang dipakai dan diadaptasi di sini dapat menyekat wabak ini," katanya sambil menambah  6,000 vaksin untuk anjing dan kucing juga telah tiba. - Bernama

Artikel Berikut

Tiada Kes Rabies Baharu

Artikel Lain