suria

E-Kad Palsu Untuk Pati Dikesan

Mustafar ketika sidang media selepas Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Fasa Kedua bagi mengesan Pati yang tidak membuat dan tidak mempunyai E-Kad pada pagi Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM: Wujud individu tertentu yang cuba memalsukan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) untuk digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya telah mengesan sebanyak 40 E-Kad palsu yang digunakan oleh Pati sejak program itu dilancarkan 15 Februari lepas.

"Sebelum ini, kita telah ambil tindakan terhadap ejen yang cuba palsukan E-Kad dan tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai E-Kad palsu.

"Imigresen juga pernah menahan seorang warga Bangladesh yang mempunyai lapan E-Kad palsu," katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Pati di Kota Kemuning di sini, Rabu.

Beliau berkata, E-Kad yang dibuat oleh pihak Imigresen mempunyai biometrik majikan serta pekerja yang digaji dan sukar untuk dipalsukan.

"Reka bentuk E-Kad palsu nampak sama tetapi Quick Response Code (QR Code) berbeza, cap jari majikan dan pekerja akan diambil dan dari situ kita dapat kesan palsu atau tidak," kata Mustafar. 

Mengulas mengenai operasi bermula 11 malam hingga 3 pagi itu, Mustafar berkata seramai 156 Pati dan dua majikan tempatan berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan dalam dua operasi di Seri Kembangan dan Kota Kemuning. 

Antara Pati yang ditahan ialah warga Bangladesh, Nigeria, Vietnam, Indonesia dan China. 

"Ini menunjukkan Imigresen tegas dalam menjaga kedaulatan negara, faktor utama program E-Kad dilihat gagal adalah disebabkan kedegilan majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka," kata Mustafar.

Beliau berkata, Pati yang ditahan akan dihantar pulang ke negara masing-masing selepas siasatan dan proses perundangan selesai dilaksanakan.

"Mereka akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen di negeri masing-masing sebelum dihantar pulang. 

"Penghantaran pulang memerlukan kerjasama daripada kedutaan dan pihak Imigresen akan menghubungi mereka," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Lelaki Bantu Ikan Beranak

Artikel Berikut

Akikah Buat Arwah Aira

Artikel Lain