PETALING JAYA: Setiap orang pasti teruja untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran insan tersayang. Malah ada di antara kita yang sanggup membuat tempahan kek atau membuat kejutan semata-mata untuk menggembirakan individu yang diraikan itu. Namun, siapa sangka di sebalik keterujaan itu terselit kisah yang mencuit hati. Surina Sidek berkongsi pengalamannya mengenai tempahan kek brownies untuk sambutan ulang tahun kelahiran bapa dan adiknya di Facebook. Wanita itu memuatnaik gambar brownies tersebut yang kelihatan menyelerakan dengan ucapan yang agak melucukan. Di atas brownies itu tertera ucapan 'Abah & Adik Happy Birthday Bg Yg Cucuk Je'. Gambar itu turut menjadi viral gara-gara ucapan yang dipercayai tersilap tulis oleh pengusaha kek. Difahamkan pengusaha kek tersebut mungkin tersilap tafsir arahan yang dikehendaki wanita berkenaan. "Alkisahnya aku order brownies kek. Cakap kat dia tulis Abah & Adik je. Yang Happy Birthday bagi cucuk je. Yang stand perkataan birthday tu la. Tiba-tiba tadi hantar gambar keknya tulis sekali macam ni. "Hahaha tak tahu nak marah ke nak gelak. Ada ke orang nak tulis cucuk je atas kek," tulis Surina dalam posting di Facebook. Susulan itu, gambar brownies yang viral itu mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen. Rata-rata netizen menyifatkan tulisan pada brownies itu sebagai sesuatu yang melucukan. @Nur Farahida Hazmi berkata:"Hahahaha. Ini Kelakar. Rasa nak marah pun ada juga. Minta lain bagi lain." @Intan Farzana berkata:"Lurus bendul ni... hahaha. First time tengok. Kalau aku kena... lawak + cantik + geram... haha... sabar-sabar."