suria

Didenda Gara-gara Sembur Pewarna Pada Udang Kering

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Seorang peniaga yang menyembur pewarna pada udang kering supaya kelihatan segar didenda RM100,000 kerana memperdaya pembeli.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau setahun penjara atas kegagalan rayuan Abdul Naser Jainuk, 56, untuk membantah keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan denda sebanyak RM20,000 terhadap kesalah tersebut.

Pada 13 Februari lalu, Abdul Naser dan adiknya Nura Imam Anuk, 45, dikenakan denda RM20,000 setiap seorang atau penjara enam bulan selepas mereka mengaku bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 9 (a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan dihukum di bawah seksyen 25 (1) (b), akta sama.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000, atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Adik-beradik itu mengaku telah menipu orang ramai dengan menyembur pewarna pada 6.9 kilogram (kg) udang kering supaya kelihatan segar, baharu dan merah walaupun udang kering sebenar berwarna putih.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah gerai di Sinsuran pada 20 Oktober 2016.

Di Mahkamah Tinggi pada Rabu, Timbalan Pendakwaraya Nartiah F. Michelle, menegaskan tindakan itu adalah serius dan boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

Tertuduh menjual udang kering dengan harga RM25 sekilogram (kg) berbanding harga sebenar RM20.

Malah, perbuatan mereka dikatakan menjadi tular dalam satu rakaman video dan mendapat reaksi negatif daripada orang ramai.

Perbuatan mereka juga telah menjejaskan imej industri makanan laut tempatan dan juga sektor pelancongan.


udang kering, pewarna

Artikel Sebelum

Artikel Lain