KUALA LUMPUR: Fasa kedua laluan Transit Aliran Massa (MRT) antara Kajang dan Muzium Negara akan dibuka kepada orang ramai mulai pukul 4 petang Isnin ini. Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman berkata serentak dengan pembukaan Fasa Kedua Laluan MRT itu, perkhidmatan bas perantara untuk stesen-stesen yang baharu dibuka turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baru. Menurutnya sebanyak 100 bas perantara tambahan turut disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan komersil yang berhampiran dengan stesen-stesen MRT terpilih. “Dengan jajaran keseluruhan sepanjang 51 kilometer merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh - Kajang berintegrasi dengan Laluan LRT (Transit Aliran Ringan) di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka, yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Fasa pertama antara Sungai Buloh dan Semantan yang mempunyai 12 stesen mula beroperasi pada 16 Disember tahun lepas dengan purata 15,000 penumpang sehari. Jumlah penumpang harian dijangka meningkat ke 150,000 hasil daripada kemudahan integrasi dan sambungan dengan kemudahan rangkaian-rangkaian sistem perhubungan rel bandar yang lain.-Bernama