KOTA KINABALU: Seorang peniaga ditetak suaminya dalam satu pergaduhan di Membakut yang terletak kira-kira 90 kilometer dari sini, awal pagi Jumaat. Suspek berusia 52 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah dipercayai menetak isterinya menggunakan parang selepas mangsa mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan seseorang di Facebook. Berang dengan tuduhan itu, suspek yang juga warga Indonesia dengan status penduduk tetap dipercayai menyerang isterinya dengan parang. Wanita itu mengalami kecederaan di bahu dan lengannya. Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Razak berkata seorang jiran yang terdengar pergaduhan itu pergi ke rumah mangsa dan terlihat lelaki terbabit menyerang isterinya. "Suspek kemudiannya meninggalkan rumah itu dan jiran mangsa memaklumkan polis dan menghubungi ambulans," katanya ketika dihubungi. Azmir berkata suspek ditahan tidak lama selepas insiden itu manakala isterinya dihantar ke hospital. Wanita itu dilaporkan menerima beberapa jahitan pada kesan luka tetakan tersebut. Kes itu akan disiasat kerana menyebabkan kecederaan teruk.