PETALING JAYA: Lelaki yang tular apabila mendakwa dikenakan bayaran mahal untuk sepinggan bihun sup Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini akan mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga terbabit. Menurut individu itu, Aswan Wanchik, tindakan tersebut diambil bagi membersihkan namanya yang didakwa berniat tidak jujur dan cuba menganiaya peniaga berkenaan. "Apa yang dinyatakan di media adalah tuduhan tidak berasas dan fitnah semata-mata. "Mereka mendakwa saya makan bersama tiga orang anak, tetapi kami hanya makan berdua (dengan isteri)," katanya kepada mStar pada Jumaat. Tambah Aswan, penggunaan gambar dan namanya di akhbar berkenan secara jelas menjatuhkan maruah dan mengaibkan dirinya kerana dianggap sengaja ingin menjatuhkan imej kedai tersebut. Lelaki itu turut memaklumkan, pihaknya akan membuat aduan secara rasmi di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang pada pukul 3 petang Jumaat. Dakwa lelaki itu, peniaga sengaja ingin memperdaya pelanggan walaupun harga makanan sudah ditanya terlebih dahulu, namun mereka mengelak untuk memberitahu harga sebenar. “Bihun sup yang dihantar hanya bihun sup biasa dan bukannya bihun sup daging atau tulang seperti yang didakwa. "Peniaga gagal mempamerkan tanda harga makanan dan mengemukakan resit selepas diminta," dakwanya. mStar Online pada Rabu melaporkan, sebuah gerai mengenakan bayaran sebanyak RM32 untuk bihun sup dan minuman kepada pelangannya sehingga tular di laman sosial. Aswan menerusi posting di Facebook pada Isnin lalu mendakwa kedai tersebut gagal memberitahu harga sebenar hidangan sebelum tempahan dibuat.