suria

Penutupan Jalan Sepanjang Lebuh Raya Cheras-Kajang Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Penutupan  jalan di beberapa kawasan sepanjang Lebuhraya Cheras-Kajang akan dilanjutkan selama 14 hari lagi untuk kerja-kerja pembinaan MRT bermula Selasa.

MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, selaku rakan pelaksana projek dalam satu kenyataan berkata penutupan itu antara lain ialah untuk memudahkan pemasangan lampu jalan, papan tanda kekal dan kerja-kerja menandakan jalan.

Kawasan-kawasan yang akan ditutup dari 10 malam hingga 5 pagi termasuk laluan menghala ke Kajang dan Kuala Lumpur dari KM14 hingga KM15.5, dekat susur keluar 703 persimpangan bertingkat Telekom dan susur keluar 704 persimpangan bertingkat Bandar Tun Hussein Onn serta dari KM13.3 hingga KM14.7 berdekatan Kampung Sungai Raya.

Selain itu, jalan susur di susur keluar 702 persimpangan bertingkat Hulu Langat, susur keluar 703  persimpangan bertingkat Telekom, dan susur keluar 704 persimpangan bertingkat Bandar Tun Hussein Onn juga akan diterus ditutup dalam tempoh itu.

Turut ditutup ialah laluan dari KM 10.6 hingga KM 11.6 menghala Kajang dari Cheras Hartamas memasuki Lebuhraya Cheras Kajang sehingga jalan susur memasuki Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batu 7, membabitkan penutupan dua lorong sementara tiga lagi lorong akan terus dibuka.

Dalam pada itu, beberapa kawasan tersebut akan ditutup dari 10 pagi hingga 4 petang dan dari 10 malam hingga 5 pagi.

Ini termasuk penutupan sebahagian lorong di kedua-dua arah menghala Kajang dan Kuala Lumpur di susur keluar 701 persimpangan bertingkat PGA serta jalan susur dari Taman Kota Cheras memasuki Lebuhraya Cheras –Kajang, menghala Kuala Lumpur.

Lorong motosikal di plaza tol Batu 9 dan Batu 11 menghala Kuala Lumpur dan Kajang juga terus ditutup dari 9 pagi hingga 4 petang dan dari 10 malam hingga 5 pagi dan dalam tempoh itu semua penunggang motosikal dinasihatkan supaya menggunakan lorong paling kiri berhampiran plaza tol itu. - BERNAMA

MRT Kajang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Taktik Terkini Sindiket Judi

Artikel Lain