“AMMU!” tegur Sami, lelaki berkulit gelap warga Sudan sejurus aku menjawab panggilan dia. Waktu itu aku baru berkira-kira mahu mengira kambing melompat pagar untuk melelapkan mata. “Ya, Sami. Ada apa?” tanya aku sepintas. “Esok pagi kita pergi sarapan OK? Restoran Raydan. Sekali dengan Melvin dan Rohaizad,” katanya memberi cadangan. Aku mengiyakan sahaja. Beria-ia benar Sami mengajak aku ke sana sejak beberapa hari sudah. “Kau kena cuba Maksoom,” kata dia sebelumnya. Keesokan harinya, di tempat kerja urusan berjalan seperti biasa. Usai mendapat tugasan masing-masing, kami bertebaran ke serata kapal terbang menjalankan tugasan di bahagian masing-masing mengikut apa yang ditetapkan. Tepat pukul 8.30 pagi, tanpa sebarang pemberitahuan kami berempat beredar dari kapal terbang menuju ke tempat parkir kereta. Suasana dingin di dalam hangar sebentar tadi dikalahkan dengan mudah oleh bahang mentari pagi yang mencecah 46 darjah Celsius yang berdampingan dengan kelembapan sekitar 66 peratus. Tipulah kalau aku kata ia tidak menjengkelkan. Belum seminit berada di luar, segenap liang roma merembeskan peluh tanpa dapat ditahan-tahankan lagi. Kami berempat bergegas masuk ke kereta Sami. “Cis! Aku berpeluh, lencun seperti dibasahi hujan!” jerit Melvin warga Filipina. Aku dan Rohaizad gelak terkekeh-kekeh sambil mengelap peluh. Tanpa diminta Sami memandu laju menuju ke Restoran Raydan. Patutlah beria-ia benar Sami si budak Sudan itu mengajak kami ke restoran berkenaan. Memang sedap makanannya. Restoran Raydan adalah restoran yang menyajikan makanan dari Yaman. Ia terletak di Al-Souq, belakang Soug Phillipine dan bersebelahan dengan hotel Horizon Manor. Pagi itu, Sami memesan empat keping roti yang dipanggil Rateeb. Roti ini di masak dengan mentega dan ditaburi bijiran habbatussauda. Dua pingan daging berkicap dan dua pinggan shakshouka menjadi juadah dampingan untuk dicicah roti tadi. Shakshouka adalah telur ayam yang dimasak hancur bersama mentega, cili bengal dan sedikit rempah. Aku memesan juga teh pudina. Dan sebagai penutup sarapan pada pagi itu, kami dihidangkan dengan maksoom. Maksoom adalah pencuci mulut yang dihasilkan daripada pisang, madu, kekacang dan keju. Rasanya manis dan berlemak. Dan apa yang lebih menarik, Restoran Raydan tidak menyediakan meja dan kerusi. Tempat makan di sini di kubikelkan dan semua perlu duduk bersila. Adat ini dipanggil ‘majlis’. Selesai makan semua tersandar pada bantal-bantal yang tersedia ditegakkan pada dinding-dinding. Rasa malas untuk balik ke tempat kerja mula menyelinap bersama aroma dan manis rasa teh pudina tadi. Jika ada antara pembaca yang datang melawat Qatar, Restoran Raydan perlu anda singgah untuk menikmati juadah negara Yaman. Setelah dua minggu menikmati rendang dan ketupat, rateeb dan shakshouka berjaya membangkit selera. Tapi sayang, esoknya sudah rindu nasi lemak.