suria

Seronok Sampai Minta Saya Buat Tutorial Tudung – Faiz Roslan

Faiz Roslan menghasilkan video aplikasi Dubsmash untuk menghiburkan orang ramai. Foto instagram @thefaizroslan

PETALING JAYA: Seorang personaliti media sosial mengakui penampilannya yang berhijab dalam aplikasi video Dubsmash membuatkan pengikutnya terhibur.

Video terbaharu menerusi parodi lagu ‘I Am Me’ nyanyi jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida turut menjadi kegilaan netizen.

Berdasarkan ruangan komen dalam beberapa video yang dimuat naik di laman sosial, segelintir pengikut melabelkan remaja berusia 17 tahun ini sebagai ‘hijabista’.  

Muhammad Faiz Roslan atau lebih dikenali sebagai Faiz Roslan berkata, sejak membuat video Dubsmash pada 2014, lebih 60 tudung yang digayakannya.

"Saya berani buat video tanpa mempedulikan kritikan kerana tujuan saya untuk menghiburkan orang. Saya suka buat orang ketawa.

“Kebanyakan video yang saya buat memakai tudung. Mungkin ramai yang terhibur dengan cara saya menggayakan tudung-tudung sehingga tak sangka ada yang meminta saya membuat tutorial tudung,” katanya kepada mStar Online.

Selain berpenampilan ‘wanita berhijab’, remaja yang berasal dari Kuala Kubu Bharu ini turut menggunakan rambut palsu dalam video-video dengan aksi melucukan.

Faiz berkata, video yang paling disukainya adalah parodi program ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’ oleh pengacara dan penerbit drama, Sheila Rusly.

“Video ini yang saya paling puas sebab mengambil masa nak buat dan banyak usaha juga untuk menghasilkannya, kena buat gaya yang menarik bagi semua orang yang menonton terhibur. 

“Selain kena hafal dialog dia (Sheila Rusly), saya kena buat gaya seperti dia selain perlu menukar baju dan memperbetulkan sudut kamera yang sesuai,” katanya yang meminati selebriti Lady Gaga dan RuPaul.

Walaupun telatahnya menarik minat netizen, namun tidak terkecuali ada yang mengecam dan mengkritik kerana aksinya yang terlalu gedik sambil memakai tudung.

Bagaimanapun Faiz menafikan gayanya mempersendakan wanita berhijab sambil berkata: “Tidak benar sama sekali. Saya menggunakan hijab sebagai modal untuk dijadikan bahan video dan kebanyakan tudung yang saya pakai adalah kepunyaan mak dan pemberian orang. Saya tidak mempersendakan orang berhijab malah berbangga dengan mereka.”

Lebih 60 tudung yang digayakan Faiz dalam video yang dihasilkannya.

Mengenai sokongan keluarga, Faiz berkata, mereka sendiri terhibur dengan video-video yang dihasilkan malah sering menontonnya bersama. 

“Mak saya seorang yang ‘sporting’, dia hanya kata ‘buat apa yang Faiz suka, Faiz minat cuma jangan melebihi batas yang sepatutnya,’,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurumekap.

Ditanya mengenai selebriti berhijab yang dikaguminya, Faiz berkata: “Sudah tentu Neelofa! Beliau merupakan lambang sebenar wanita Malaysia yang perlu dicontohi dan tudung-tudung dia memang lawa sangat!.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain