suria

Kisah 'Bibik Dajal', Netizen Tumpang Geram

PETALING JAYA: Kisah 'Bibik Dajal' yang dikongsi seorang wanita yang bengang dengan pembantu rumahnya yang dikesan 'bermaharajalela' ketika ketiadaannya mendapat perhatian netizen.

Selain bersimpati dengan nasib wanita berkenaan, ramai juga yang dilihat 'tumpang geram' membaca tulisannya.

Posting yang dimuat naik oleh pengguna Facebook Hanani Ahmad pada Jumaat telah tular di media sosial dan setakat ini mendapat hampir 2,000 perkongsian dengan komen mencecah 700.

Dalam posting tersebut, beliau menggambarkan bibiknya sebagai seorang yang penipu, pemalas, pengotor, suka mencuri dan 'gila jantan'.

Berikut adalah paparan skrin sebahagian daripada postingnya.

Di ruangan komen pula, ramai netizen seakan-akan memahami perasaan wanita berkenaan dan ada juga yang berkongsi pengalaman 'ngeri' mereka berdepan dengan pembantu rumah asing.

Sementara itu Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein ketika dihubungi mStar Online berkata, majikan seharusnya bijak menggunakan media sosial dalam meluahkan kemarahan mereka terhadap pembantu rumah yang bermasalah.

"Boleh nak kongsi kisah atau pengalaman, tapi biarlah bijaksana dan berpada-pada, yang penting kongsilah kebenaran.

"Bila menulis ketika marah, bahasa pun kena hati-hati sebab bila dah dikongsi, ia mungkin akan mencerminkan diri majikan itu sendiri," katanya.

Engku Ahmad Fauzi berkata, beliau tidak menghalang majikan berkongsi cerita baik atau buruk tentang pembantu rumah masing-masing di media sosial untuk panduan atau pengajaran majikan lain.

"Kadang-kadang melepas kemarahan di media sosial membantu mereka daripada mencederakan pembantu yang diupah, lepas kongsi mereka akan rasa lega sedikit," katanya.

Katanya, cara terbaik apabila berdepan masalah dengan pembantu rumah asing adalah menghubungi ejen dan berunding tentang langkah seterusnya.

Jelasnya, jika ia melibatkan kesalahan jenayah, majikan boleh terus membawa kes kepada pihak polis.


Bibik Dajal, amah, pembantu rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan