SUNGAI PETANI: Remaja berusia 18 tahun yang dituduh merogol tiga adiknya ditahan reman sehingga 28 Julai ini. Majistret Arif Mohamad Shariff mengeluarkan arahan reman di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Sabtu. Suspek yang memakai pakaian lokap tiba di mahkamah pada pukul 9.26 pagi menaiki sebuah van polis. Insiden tersebut menjadi perhatian pada Khamis lalu apabila mangsa berusia lapan tahun mengaku telah dirogol oleh abangnya. Berikutan itu, dua lagi kakaknya yang berusia sembilan dan 14 tahun tampil membuat pengakuan sama kepada ibunya. Ibu mereka membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan. Suspek ditahan pada Jumaat selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Balai Polis Kuala Muda.