KOTA BHARU: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak umat Islam seluruh dunia supaya bersatu bagi mempertahankan Islam daripada direndah-rendahkan pihak luar. Beliau berkata pada masa ini umat Islam "diratah" di seluruh dunia terutamanya melibatkan penduduk di Palestin dan beberapa negara Asia Barat yang lain. "Sekarang umat Islam diratah di seluruh dunia... umat Palestin; mereka adalah penduduk Baitulmaqdis, penjaga Baitulmaqdis. Sekiranya umat bersatu cahaya Islam tidak akan terpadam, " katanya. Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika menyampaikan pidato pimpinan Islam sedunia sempena malam kemuncak Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia ke-4 yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis lepas. Turut hadir Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika membacakan resolusi 20 perkara yang dicapai pada ijtima itu, berkata ijtima antarabangsa itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk rejim Zionis dengan penutupan Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya. Resolusi lain, beliau berkata menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim, mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan dapat menaungi umat Islam yang lemah. Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam, katanya. -Bernama