KUALA LUMPUR: Selamat tinggal Nuan Nuan. Nuan Nuan merupakan anak panda pertama yang dilahirkan di Malaysia selepas 15 bulan kedatangan pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang ke negara pada 21 Mei 2014. Kedatangan pasangan panda itu sempena 40 tahun ulangtahun hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China dan ia dipinjamkan dalam tempoh sepuluh tahun. Minggu lalu, pihak kerajaan memberitahu, Nuan Nuan akan dihantar ke pusat perlindungan panda di Sichuan bulan depan, pada tarikh lahirnya 18 Ogos ini. Dan Giant Panda Conservation Centre di Zoo Negara perlu diperluaskan sekiranya Nuan Nuan tinggal di sini lebih lama yang juga akan melibatkan kos bayaran dan perbelanjaan lain sebanyak RM2.5 juta. Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, beliau berasa sedih apabila anak panda itu akan kembali ke negaranya. Jelasnya, anak panda akan meninggalkan ibunya pada usia 18 hingga 24 bulan selepas lahir. "Mereka berpisah secara semulajadi, atau akan bergaduh. Panda merupakan haiwan yang suka bersendiri," ujarnya. Tambah beliau, kedua ibu bapa Nuan Nuan juga diasingkan dan hanya berjumpa sebanyak tiga kali setahun.