PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob yang sebelum ini didenda RM600 kerana memandu di lorong kecemasan didakwa semula di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan sama. Yusoff, 58, yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat lepas, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Dia didakwa atas pertuduhan memandu kereta dengan nombor pendaftaran 'BLY 68' di lorong kecemasan Lingkaran Putrajaya di Putrajaya kira-kira 6.27 petang pada 7 Okt 2016 yang bertentangan dengan Kaedah 53(1) Kaedah Lalu lintas Jalan 1959. Selepas pertuduhan dibacakan Yusoff, yang memakai sut biru gelap menjawab “Saya mengaku tidak bersalah”. Lapor Bernama, pertuduhan itu dibacakan semula dengan kehadiran Yusoff. Pada 18 Julai lepas, Yusoff tidak hadir di mahkamah sama bagi merekodkan pengakuannya tetapi telah menghantar pegawai khasnya bagi mewakilinya untuk mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(1) © dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan. Di luar mahkamah, peguam Datuk Baljit Singh Sidhu ketika ditanya mengapa anak guamnya tidak hadir pada prosiding lepas, berkata terdapat kekeliruan dan Yusoff juga tidak mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya mengenai kes itu. Kes Yusoff mendapat perhatian ramai setelah tidak hadir di mahkamah pada 18 Julai lepas sebaliknya menghantar pegawai khasnya untuk mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dihadapinya. Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadapnya. Pegawai khasnya telah membayar denda itu. Bagaimanapun pada 21 Julai (Jumaat lepas) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula dan membuat pengakuan sendiri terhadap tuduhan itu. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Indera Ab Karim Ab Rahman yang menggunakan kuasanya untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret itu juga mengetepikan hukuman denda RM600 yang dijatuhkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim. Beliau juga mengarahkan supaya kes itu didengar di hadapan majistret baharu. Pada hari sama, Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif juga memberitahu pemberita pada satu majlis bahawa kes itu telah dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret.