PETALING JAYA: Gara-gara memuat naik gambar bersama suami memakai baju berinspirasikan Hello Kitty di Facebook sehingga tular, seorang usahawan kosmetik sekali lagi mengundang perhatian dalam kalangan netizen. Jika sebelum ini melibatkan kisah tentang baju raya Hello Kitty yang dihasilkannya menjadi 'buruan' seorang lelaki berpangkat Datuk sehingga mendapat reaksi positif netizen, namun kali ini nada berbeza yang disuarakan. Seorang pengguna Facebook ‘Sely Safina’ berkata: “Suami dia, muka macam terpaksa pakai.” Menurut ‘Eida Haleeda’: Mesti suaminya #redha. Kalau aku pun tak pakai macam ni.” Bagaimanapun seorang netizen menyokong tindakan suaminya, kata 'Noor Azida Azizuddin': “Sweet sangat. Suami sporting sangat. Janji happy. Bahagia dengan cara masing-masing.” Sehubungan itu, Yus Amina Mohd Zawizah, 27, menjelaskan bahawa suaminya sekadar mengikut tema sedondon sempena rumah terbuka Aidilfitri dan sambutan ulang tahun kedua anak perempuan mereka di Ukay Perdana, Ampang pada Sabtu lalu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Afina berkata, ia juga sebagai tanda kasih seorang bapa kepada anak perempuan, Putri Jeliyta Ai Rich Mohd Afizi yang amat menyukai watak kartun berkenaan. “Macam-macam kritikan yang kami terima. Ingin saya perjelaskan bahawa saya tak paksa suami pakai baju Hello Kitty. “Suami memang ‘sporting’, jadi dia tak kisah nak pakai sedondon. Dia bukan takut bini!,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Afina berkata, dia tidak menyangka gambar terbaharu yang dimuat naik di Facebook pada Ahad lalu hangat diperkatakan netizen kerana gambar beliau bersama anaknya berbaju Hello Kitty yang tular sebelum ini kembali reda. Namun, susulan tular gambar terbaharu itu, Afina berkata: “Dulu saya dipanggil Akak Hello Kitty, sekarang suami pula digelar Abang Hello Kitty.” Pada Isnin, Afina turut membuat penstriman video secara langsung di Facebook bagi menjawab kritikan netizen berhubung isu beliau bersama suami memakai baju Hello Kitty. “Suami saya sayang saya, suka hatilah dialah. Suamimu ada nak pakai lagu tu? Suka hatilah awak nak kata apapun, yang penting suami sayang saya dan bahagia,” kata Afina menerusi video berdurasi kira-kira sembilan minit itu. Kisah Afina dan anak perempuannya berbaju raya Hello Kitty sebelum ini tular apabila seorang lelaki bergelar Datuk Z sanggup membeli baju berkenaan pada harga ribuan ringgit untuk anak perempuannya termasuk cucu yang menghidap kanser hati.