KOTA KINABALU: Tiga pegawai penguatkuasa ditahan selepas disyaki menerima rasuah ketika terlibat dalam operasi pemeriksaan harga di Beaufort minggu lalu. Ketiga-tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Beaufort yang berusia 35, 37 dan 38 tahun itu ditahan pada Khamis. Menurut laporan yang dibuat pemilik kedai, suspek didakwa ke premis miliknya untuk memeriksa harga barang pada kira-kira pukul 12.30 malam, 14 Julai lalu. Ketika menjalankan pemeriksaan itu, ketiga-tiga pegawai terlibat telah meminta RM600 daripada mangsa bagi mengelak dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan yang dijual. Pemilik kedai itu mendakwa telah membayar wang yang diminta dan kemudian melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Julai. Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi berkata, ketiga-tiga pegawai terlibat ditahan di pejabat mereka dan akan direman bagi membantu siasatan.