suria

Bunuh Pengurus: Tiga Dipenjara 22 Tahun

Dari kiri, Ahmad Bohari, Ahmad Saipunizam dan Mohd Haire telah dijatuhi hukuman penjara 22 tahun kerana kematian seorang pengurus.

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk dua beranak dijatuhi hukuman penjara 22 tahun, masing-masing oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pengurus syarikat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu terhadap  Ahmad Bohari Mohamad Noor, 52 dan  anaknya Muhamad Haire, 24 serta seorang anggota tentera Ahmad Saipunizam Mohd Pirus, 36 selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mohamad Shariff memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh kesemua mereka dituduh di mahkamah pada 4 Mei 2016.

Dalam pada itu, mahkamah melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh Suhaimi Atan, 24  dan bapanya Atan Mad Sah, 50, daripada pertuduhan sama setelah mahkamah berpuas hati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kelima-lima mereka didakwa secara bersama-sama menyebabkan kematian Liew Han Yuen, 48 ketika kejadian di PPR Kg Limau, Pantai Dalam di sini, antara 11.40 malam pada 14 April 2016 hingga 1.30 pagi pada 15 April 2016.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan dengan denda.

Dalam penghakimannya, Mohammad Shariff berkata hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan pihak lain agar tidak mengambil mudah kejadian yang berlaku.

"Tertuduh telah mengambil undang-undang dalam tangan mereka sendiri. Kesalahan yang dilakukan tertuduh-tertuduh adalah satu jenayah yang serius dan berat.

"Tertuduh-tertuduh mengambil tindakan yang membatasi akal rasional manusia yang merugikan mereka," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli berhujah selain mengambil undang-undang sendiri ke atas mangsa yang mabuk teruk ketika kejadian dan tidak dapat mempertahankan diri, semua tertuduh juga tidak bersimpati terhadap mangsa.

“... kenapa perlu mahkamah bersimpati terhadap ketiga-tiga tertuduh," katanya.

Kelima-lima tertuduh masing-masing diwakili  peguam Wan Azmeer Wan Majid, Saiful Zulhelmi Zulkifli dan Adi Zulkarnain Zulkafli. --Bernama   



Ahmad Bohari, Ahmad Saipunizam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Panik! Bengkel Motor Meletup

Artikel Lain