suria

Paris, Tunggu Aku Datang!

Hafizi (kanan) bersama dua pelancong warga Perancis yang ditumpangkannya dari Kluang ke Mersing.

PETALING JAYA: Anak muda ini belum pernah menjejakkan kaki ke luar negara dan selama ini mengetahui destinasi menarik dunia hanya menerusi filem dan Internet.

Namun pertemuan dengan dua pelancong warga Perancis pada Selasa lalu membuatkan tentera yang baik hati ini menyimpan hasrat untuk ke Paris, ibu negara di Eropah itu satu hari nanti.

Kisah Muhammad Hafizizaudin Dalis Din, 21, tular di media sosial selepas berkongsi pengalaman menumpangkan dua pelancong asing dari Kluang ke Mersing secara percuma walaupun ditawarkan sejumlah bayaran.

"Aku cakap tak apa, ikhlas. Moga dia cerita kat pelajar-pelajar dia bahawa rakyat Malaysia ini peramah. Satu je ayat aku pegang, buat baik dibalas baik," katanya di laman sosial mengenai kedua-dua pelancong, masing-masing bekerja sebagai guru sehingga mendapat pujian netizen.

Tentera di Tiga Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah ini ketika dihubungi mStar Online berkata, dia cuba menyelami keadaan dua pelancong itu yang mengembara ke negara asing.

"Saya terfikir macam mana kalau saya jadi mereka, yang mahu minta bantuan lebih-lebih lagi kalau sesat. Memang kita berdoa agar dipermudahkan tetapi kita perlu berusaha juga.

"Saya sentiasa berpegang kepada prinsip kalau kita berbuat baik, satu hari nanti kita akan dibalas dengan kebaikan, mungkin bukan segera tetapi sesuatu yang tidak dijangka," katanya yang lebih dikenali sebagai Hafizi.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, dia menyedari kehadiran dua pelancong terbabit yang berdiri di tepi jalan di Kluang ketika cuaca panas terik.

Menurut Hafizi, pada awalnya dia hanya mahu membantu menghantar dua pelancong itu yang terlepas bas ke Mersing ke mana-mana jalan bagi memudahkan mereka menyambung perjalanan dengan bantuan pemandu lain, tetapi dia kemudiannya mengambil keputusan untuk terus menghantar ke destinasi.

"Kebetulan saya bercuti jadi ada masa terluang. Walaupun tidak banyak yang dibualkan tetapi kami berkongsi sedikit latar belakang terutama mengenai pekerjaan masing-masing," katanya mengenai perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam.

Hafizi bertugas sebagai tentera di Tiga Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah

Bagaimanapun kata Hafizi, dia berasa sedikit terkilan kerana tidak banyak ditanya kepada pelancong yang sedang bercuti selama 15 hari itu mengenai tarikan di Perancis terutama Paris.

"Saya lebih banyak berkongsi cerita tentang Malaysia terutama Johor tempat kelahiran saya dan Kota Kinabalu tempat saya bertugas.

"Teringin juga nak tahu pasal Perancis terutama Paris. Sebab di situ terkenal dengan Menara Eiffel," kata Hafizi yang mula mengenali mercu tanda dunia itu menerusi filem aksi Rush Hour 3 lakonan Jackie Chan.

Hafizi berkata, bercuti ke luar negara dan mengenali budaya asing merupakan antara impiannya satu hari nanti.

"Namun sekarang ni kekangan masa disebabkan tuntutan kerja selain perlu membuat simpanan terlebih dahulu. Maklumlah mata wang di Eropah lebih tinggi.

"Siapa tahu ada rezeki saya dapat ke luar negara. Pastinya Paris, mungkin destinasi percutian bersama isteri kalau dah kahwin nanti. Paris, tunggu aku datang!," katanya.

Artikel Sebelum

Nasib Jutawan Tiga Jam

Artikel Berikut

'Payung Emas' Tak Wujud

Artikel Lain