PETALING JAYA: Setiap kali bercakap tentang poligami, ungkapan 'payung emas' pasti akan timbul! Si suami tentunya akan menjadikannnya modal atau 'mengumpan' isteri dengan ganjaran tersebut jika mahu menambah 'cawangan'. Si isteri pula akan mula terbayang-bayang bagaimana agaknya rupa payung emas yang akan diperolehi di akhirat kelak jika dia taat kepada suami dan merelakan dirinya dimadu. Penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din berkata, tidak ada hadis sahih atau ayat al-Quran yang menyebut secara khusus tentang ganjaran persetujuan poligami oleh isteri, termasuklah payung emas di akhirat yang sering menjadi bualan dalam masyarakat kita. "Tak ada hadis, ayat al-Quran atau nas untuk isteri setuju poligami, lagi-lagi yang payung emas tu, tapi itulah yang tersebar dalam masyarakat kita. "Ia (payung emas) hadis palsu, langsung tak benar, tak ada rujukan atau sumber dan tidak diketahui asal-usulnya," katanya kepada mStar Online. Wan Dazrin diminta mengulas mengenai tweetnya berkaitan 'payung emas' yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini. Bekas peserta program realiti terbitan TV3, Da'i Pendakwah Milenia ini bagaimanapun berkata secara umumnya isteri yang taat dan reda dengan perbuatan suaminya sememangnya telah dijanjikan ganjaran yang besar di akhirat. "Isteri yang jaga aib suami, setuju dengan apa saja perbuatan suami yang sah dari sudut pandang syariat dan memperoleh reda suami disebutkan dalam al-Quran dapat memilih mana-mana pintu syurga yang mahu dimasukinya," jelasnya, merujuk kepada hadis Ibn Hibban. Menurut Wan Dazrin, ungkapan 'payung emas' muncul mungkin disebabkan kiasan ulama tentang ganjaran atau perlindungan di akhirat apabila mengamalkan poligami. "Mungkin kiasan para ulama dahulu untuk mengimarahkan golongan isteri bahawa ada ganjaran besar kalau setuju untuk berpoligami," katanya. Wan Dazrin berkata, disebabkan poligami adalah amalan Nabi Muhammad SAW, mana-mana lelaki yang mengikut sunnahnya akan mendapat lebih ganjaran. Mengulas lanjut perkara ini, Wan Dazrin berkata selain poligami banyak lagi amalan atau sunnah Rasulullah yang boleh diikuti kaum lelaki, khususnya. Bagaimanapun katanya, dalam berpoligami kaum lelaki wajib berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya, seperti mana yang terdapat dalam surah An-Nisa ayat 3. "Dahulukan yang pertama, kalau tak boleh berlaku adil atau bertangungjawab pada yang satu jangan fikir untuk berkahwin dua, tiga atau empat, itu jelas ada dalam al-Quran. "Tapi orang kita hari ni tak ramai tengok ayat Quran tu, tengok yang sunnah nabi saja...tengok hadis (payung emas) yang palsu itu," katanya. Dalam pada itu beliau turut menasihatkan suami yang mahu berpoligami supaya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang negara ini. Katanya, walaupun dalam Islam tidak diwajibkan untuk suami meminta izin isteri untuk berkahwin lain, suami yang berpligami yang tidak mengikut prosedur mahkamah boleh dikenakan tindakan undang-undang.