suria

Kereta Mewah Rempuh Orang Awam, Lima Cedera

JOHOR BAHRU: Lima orang awam cedera dalam kejadian rempuhan kereta mewah ke dalam pusat beli-belah Bukit Indah pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supritendan M. Kumarasan berkata, jurujual berusia 25 tahun itu melanggar sekumpulan orang awam yang sedang beratur untuk membayar tiket parking dalam kejadian yang berlaku pada pukul 12.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu terbabit cuba meletakkan kenderaan sebelum hilang kawalan dan memecut ke arah mangsa yang berada di situ.

"Lima mangsa mengalami cedera ringan dan sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambah beliau, dua daripada mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulans dan tiga lagi dihantar menggunakan kereta mereka sendiri.

"Pemandu yang berasal dari Kulai itu tidak mengalami kecederaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain