PARIT: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan parti itu tidak akan bermain dimensi politik menakut-nakutkan, sebaliknya sentiasa memberi keyakinan dan pengharapan kepada rakyat untuk terus menaruh kepercayaan kepada parti untuk mentadbir negara. Perdana Menteri berkata parti yang memainkan politik menakut-nakutkan ialah pihak yang tidak ada kuasa dan mahu menumbangkan tampuk pemerintahan negara. Menurut Najib, dalam politik ada dua dimensi iaitu politik menakut-nakutkan dan politik harapan di mana Umno sebagai parti yang berkuasa tidak perlu bermain politik untuk menakut-nakutkan rakyat kerana ia akan merosakkan harapan sehingga merugikan rakyat. "Kita akan berkecamuk, bercelaru, tidak tentu hala, tak ada panduan tetapi UMNO akan terus memberi pengharapan kepada rakyat kerana kita telah membuktikan selama 60 tahun Umno memerintah, kitalah parti yang telah banyak berbudi dan berjasa dan bawa perubahan kepada Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Parit pada Sabtu. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak merangkap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan anggota Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan. Untuk itu, Najib berkata rakyat mempunyai pilihan sama ada mahu memilih pembangkang diterajui DAP atau terus bersama Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.Najib turut menyentuh pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) sepanjang 51 kilometer yang secara tidak langsung membantu menjana ekonomi luar bandar. "Orang ada tanya saya buat apa Datuk lambakkan peruntukan di Lembah Klang. Ni teman nak terangkan ni, Bila kita buat projek di Kuala Lumpur. ekonomi kita bertambah, bila ekonomi bertambah, hasil negara bertambah. "Bila hasil bertambah, maka kita gunakan peruntukan itu untuk (disalurkan) ke luar bandar juga, " katanya.Dalam persidangan perwakilan itu, Najib turut menyeru para perwakilan melakukan gerak kerja dalam meningkatkan sokongan terhadap BN serta mengekalkan kemenangan Umno di Parlimen Parit. Beliau juga turut meluluskan peruntukan RM3 juta untuk membaik pulih rumah dalam Parlimen Parit serta meluluskan permohonon 3,100 hektar bendang sawah di Parit dimasukkan ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak. Perdana Menteri turut bersetuju memberikan peruntukan awal untuk membaiki jalan Parit-Siputeh sepanjang 9 kilometer. Selepas persidangan tersebut, Najib turut berkesempatan meninjau Pusat Sumber Ibnu Sina MRSM Parit dan beramah mesra dengan para pelajar serta memuji kualiti yang ditunjukkan mereka yang fasih berbahasa Inggeris meskipun sekolah tersebut terletak di luar bandar. -Bernama