suria

Siasat Tun M Jika Pembangkang Memperjuangkan Keadilan - Hisham

SETIU: Pakatan pembangkang perlu memulakan siasatan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang jika mereka benar-benar memperjuangkan keadilan dan bukan menunggu  sehingga selepas pilihan raya umum ke-14, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Apa yang menjadi tanda tanya kenapa nak tunggu menang pilihan raya? Sudah nampak ada percanggahan, kalau menang siasat, kalau kalah sepakat, itu tidak masuk akal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Setiu di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bersetuju menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat tuduhan terhadap Dr Mahathir sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, ia hanya dapat dilakukan sekiranya Pakatan Harapan berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas berkata ia berbeza dengan kerajaan BN yang menjalankan siasatan terhadap sesuatu isu seperti 1MDB yang melalui pelbagai siasatan sebelum ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata pihaknya menerima maklum balas positif  jentera di peringkat bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) terhadap manual PRU14.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Manual PRU14 berkata manual berkenaan menumpukan kepada gerakan lebih tersusun dan bersasar berbanding gerak kerja pada PRU13 lalu.

Mengenai calon pada PRU14, Hishammuddin mengingatkan wakil rakyat Umno dan BN untuk turun padang membantu rakyat bagi dipilih semula sebagai calon.

Katanya, pemilihan calon merupakan hak Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui metadologi tertentu yang terbukti pada pilihan raya negeri Sarawak, pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.

"Saya setuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) supaya kita tidak perlu melobi, yang penting kita turun padang dan majoriti rakyat terima, jadi pimpinan tertinggi tahu kita boleh dicalonkan semula," katanya.-- Bernama 



Mahathir, Umno

Artikel Lain