BEIJING: Seorang wanita Malaysia yang kini terkandas di China bersama anak lelakinya, berharap untuk memenuhi impian untuk membawa anaknya itu pulang ke tanah air. Ini kerana wanita berkenaan, Cheng Chau Yang, 42, dan anak lelakinya dikenakan sekatan larangan perjalanan oleh mahkamah China dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu. Kini dia berjuang untuk menentang keputusan mahkamah tersebut dan berharap memenuhi impian anak lelakinya yang berusia lapan tahun itu. Menurut Chau Yang, anak lelakinya berasa malu setiap kali ditanya oleh rakan sekelasnya tentang Malaysia kerana dia tidak dapat menggambarkan negara kelahirannya itu. “Dia sedih kerana walaupun dia lahir di Malaysia, namun dia tidak tahu apa-apa kecuali yang dibaca dari buku dan Internet. “Saya janji kepadanya untuk membawanya pulang ke Malaysia,” katanya. Dia dan anaknya tidak dibenarkan keluar dari negara itu ekoran larangan perjalanan yang dikenakan ke atas mereka bagi memastikan hak lawatan bekas suaminya untuk melawat kanak-kanak tersebut terjamin. Bekas suaminya dibenarkan melawat anak setiap minggu tetapi, menurut Chau Yang, lelaki berkenaan hanya melawat sekali sahaja di ketika mereka bertemu di mahkamah pada Januari tahun lepas. Mereka 'terperangkap' di negara asing itu sejak 21 bulan lalu. Tiada ayat yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan kehidupan seorang ibu tunggal yang terpaksa membahagi masa untuk bekerja dan menjaga anak, kerana khuatir bekas suaminya akan menculik anaknya seperti yang berlaku sebelum ini. “Saya hantar dan ambil anak dari sekolah. Saya tidak berani meninggalkannya seorang diri dan akan sentiasa memegang tangannya, saya tidak mahu kehilangannya lagi,” kata Chau Yang sambil menambah dia ingin bertemu neneknya yang berusia 94 tahun. Kisah Chau yang telah dibangkitkan oleh Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie di dalam sidang media di Wisma MCA pada Jumaat lepas. Dilaporkan, bekas suaminya yang berusia 45 tahun pernah menculik anaknya sebanyak dua kali. Dalam kejadian culik kali kedua, Chau Yang langsung tidak mengetahui lokasi dan keadaan anaknya selama dua tahun sebelum dua beranak itu bertemu kembali. Wanita itu banyak meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya pada anaknya untuk memastikan perceraian dia dan bekas suaminya tidak memberi kesan pada anaknya. Chau Yang gembira kerana anaknya membesar menjadi kanak-kanak yang aktif dan ceria selepas menghadiri beberapa sesi kaunseling. Dia turut diberikan hak penjagaan anak selepas bercerai pada 2014. Hidup Chau Yang berubah apabila keluarganya di Malaysia meminta pertolongan pada Sabtu lepas apabila rayuan yang dibuat di mahkamah China gagal. “Ia sangat sukar, tetapi saya menjadi semakin kuat apabila ramai orang memberi sokongan dan semangat. “Saya harap hak kami sebagai rakyat Malaysia akan dipertimbangkan oleh kerajaan China,” kata Yang. Will Fung, peguam Malaysia yang betugas di China berkata, warga asing tidak dibenarkan keluar dari negara kerana sebab-sebab tertentu, menurut kepada Undang-undang Pentadbiran Keluar dan Masuk Negara negara tersebut.