IPOH: Hasrat dua bersaudara dari Kuala Lumpur untuk melawat bapa mereka di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bertukar tragedi. Simrandeep Kaur, 25, dan Gurvider Singh, 23, maut ketika dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan pada awal pagi Isnin. Kejadian yang berlaku di Kilometer 290.5 laluan arah utara, dipercayai berlaku pada jam 3 pagi, apabila Perodua Axia yang dipandu Gurvider hilang kawalan berdekatan Pusat Transformasi Luar Bandar (UTC), Gopeng. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Deputi Superitendan Mohd Mahiri Hussin, Gurvider dipercayai gagal mengawal keretanya dan melanggar belakang Perodua Myvi, sebelum merempuh treler yang diparkir di bahu jalan. Simrandeep dan Gurvider maut di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang dalam dua kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan. “Ketika kemalangan, jalan dan cuaca dalam keadaan baik. Kawasan lebuhraya juga kelihatan cerah,” kata Mohd Mahiri. Tambahnya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana kecuaian memandu. Rakan Gurvider berkata, dia sangat terkejut mendengar berita itu dan tidak dapat membayangkan kesedihan yang dihadapi keluarganya. “Gurvider anak yang baik. Dia juga rajin berusaha dan menjalankan perniagaan sambil belajar," katanya.