suria

Jejaka Finland, Scotland Kirim Resume Pikat Vida

PETALING JAYA: Selepas usahawan selebriti Datuk Seri Hasmiza Othman secara terbuka bercerita mengenai soal cinta setelah tiga kali gagal dalam melayari bahtera perkahwinan, ramai jejaka yang mencuba nasib untuk memikat hatinya.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida itu berkata, sehingga hari ini sekurang-kurangnya 50 resume diterima menerusi kiriman emel daripada jejaka yang meluahkan hasrat untuk memperisterikannya.

Lebih menarik, resume itu bukan sahaja diterima dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga dari luar negara termasuk Finland dan Scotland.

"Dalam banyak-banyak resume, ada yang dari Finland dan Scotland. Tapi saya tak tengok pun lagi, takut nanti terjatuh cinta," katanya dalam nada berseloroh.

Namun, Vida berkata individu yang mahu menjadi calon suaminya perlulah bermata kelabu, kaya dan boleh menerima hobinya yang suka membeli-belah.

"Dia kenalah ada karakter yang saya mahukan iaitu bermata kelabu tapi ada ke calon-calon seperti itu?

"Dia juga kenalah terima diri saya seadanya. Lelaki mana yang sanggup terima kalau sekali shopping saya borong 14 handbag terus? Pengsan lelaki tu," katanya.

Selain itu, Vida berkata lelaki tersebut perlulah setia, amanah, jujur, beriman, penyayang dan paling penting boleh membahagiakan dirinya dan juga anak-anak.

"Saya kini lebih berhati-hati selepas gagal tiga kali dalam perkahwinan. Buat masa ini belum ada pengganti tapi andai bertemu semula jodoh dan dia wajib seorang yang beriman, amanah, jujur dan penyayang," katanya.

Usahawan berusia 46 tahun itu sah bercerai talak satu dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin di Mahkamah Syariah, Ipoh pada 7 April lalu.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata rumah tangganya tidak dapat diselamatkan kerana sudah tiada lagi persefahaman antara mereka.

Vida bernikah dengan Fairuz, 39, pada Januari 2014, yang juga perkahwinan ketiga ahli perniagaan itu.

Datuk Vida, resume calon suami

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain