suria

Bahana Sambung Bulu Mata

Fiber sintetik tunggal kebiasaannya menggunakan gam pelekat berasaskan formaldehid yang membahayakan kesihatan. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Sekilas pandang memang nampak asli. Itulah kesan yang diperolehi bagi mereka yang membuat rawatan menyambung bulu mata.

Namun sejauh manakah kaedah yang digunakan untuk memiliki bulu mata lentik bagi menambah seri itu tidak memudaratkan kesihatan mereka yang melalui prosedur berkenaan.

Pakar bedah mata, Datuk Prof. Dr Muhaya Mohamad berkata, rawatan penyambungan bulu mata adalah tidak sihat kerana ia boleh mendatangkan kesan sampingan terhadap mata.

"Bila buat sambungan pada bulu mata, kita akan gunakan gam yang kadang-kadang mengandungi bahan kimia, ia mungkin tidak sihat untuk bulu mata.

"Akar pada bulu mata asal ada mengeluarkan minyak secara semula jadi. Jadi, saya rasa memang tidak sihat untuk buat rawatan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kata Muhaya yang juga pakar motivasi, gam yang digunakan untuk proses penyambungan bulu mata dikhuatiri akan membuatkan wuduk seorang Muslim itu tidak sempurna.

Tontoni video ini untuk ketahui tentang risiko kaedah sambungan bulu mata. - Youtube/The Doctors

Menurut laporan Consumer Reports dari Amerika Syarikat, fiber sintetik tunggal digamkan satu persatu kepada bulu mata asli yang kebiasaannya menggunakan gam pelekat berasaskan formaldehid.

"Gam pelekat boleh menyebabkan reaksi alergi. Bulu mata kosmetik meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan kulat.

"Rawatan ini juga dilaporkan menyebabkan kerengsaan kepada kornea mata," kata laporan itu.

mStar Online pada Jumaat lalu melaporkan, penceramah bebas, Syamsul Debat berkata, perbuatan tersebut adalah haram daripada segi hukum.

"Memang haram hukumnya sambung rambut ni. Tak kisahlah sama ada sambung rambut, bulu mata, jambang atau pun bulu hidung.

"Ia boleh menjadi fitnah kerana mengubah ciptaan Allah dan menyambung rambut yang menyerupai kejadian asal bulu mata," katanya.

sambungan bulu mata

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain