suria

'Seram'...Ribuan Calon Isteri Buru Adib

Adib mendakwa terpaksa menggunakan gambar rakannya kerana enggan didekati kerana rupa. - Facebook/Viral D Viral

PETALING JAYA: Tiada siapa yang boleh menidakkan penangan tular di laman sosial kerana saban hari ada sahaja kisah yang menggemparkan dan menarik perhatian pengguna internet.

Seperti kisah pemuda yang menggunakan nama samaran Adib untuk mencari 'pengantin segera' bagi meneruskan majlis pernikahannya bukan sahaja mengundang ribuan lamaran netizen, namun pengendali laman yang menghebahkan ceritanya itu turut terkena tempiasnya.

"Menakutkan baca inbox (pesanan peribadi) mereka. Seram. Selain ibu tunggal, ada juga golongan sejenis yang meminta nombor telefon Adib daripada kami.

"Sebelum posting asal dipadam, seramai 60,000 orang yang tag diri sendiri dan rakan mereka untuk dijodohkan dengan Adib," kata pengendali Facebook Viral D Viral ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, sehingga kini pihaknya masih menerima lebih 2,000 pesanan peribadi yang  mencari Adib walaupun selepas dijelaskan bahawa pemuda yang berasal dari Negeri Sembilan itu sudah ada pilihan calon isteri.

Jelas pengendali laman tersebut, lelaki yang digambarkan memiliki wajah yang tampan dan berbadan sasa itu sudah memilih seramai 30 daripada 1,000 wanita yang tag diri sendiri pada ruangan komen.

Inilah wajah rakan Adib yang didakwa berasal dari Indonesia.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan bahawa pemuda terbabit didakwa menggunakan gambar rakannya yang berasal dari Indonesia untuk mencari jodoh.

Namun, Adib kemudiannya menghantar pesanan peribadi kepada pengendali laman Viral D Viral untuk membuat pengakuan dan memohon maaf atas perbuatannya kerana enggan diburu kerana raut wajahnya.

Pihak Viral D Viral yang bertindak sebagai 'orang tengah' mendakwa bahawa sudah membuat panggilan video untuk menghubungi Adib tetapi terpaksa merahsiakan identiti pemuda misteri itu yang enggan dikenali umum.

"Adib menggunakan nama samaran yang dekat dengan nama sebenar dan dia tak mahu letak muka sendiri kerana nanti lagi lah orang cari.

"Daripada perbualan video itu nampak rumah dia besar dan macam anak orang berada, mungkin dia keluarga senang," ujarnya.

Dalam pada itu, dakwa pengendali laman itu lagi, Adib sempat menunjukkan hantaran yang sudah siap yang sepatutnya diserahkan kepada bekas tunangnya.

Adib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain