PETALING JAYA: Memiliki kereta mewah bukan lesen untuk melakukan kesalahan undang-undang, lebih-lebih lagi jika perbuatan itu menyusahkan orang ramai. Gambar yang tersebar kira-kira sejam lalu pantas mendapat reaksi netizen yang menyelar tindakan pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaannya di laluan pejalan kaki. "Lokasi di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Suntex. Mentang-mentang stesen baru tiada clamping (mesin apit) lagi," ujarnya. Seorang pengguna Facebook, Putera Daniel berkata: "Bajet (fikir) naik kereta mahal boleh buat sesuka hati. Berlagak manusia ni. Elok tuang sampah atas kereta dia." Bhoy De Rojo pula berkata: "Mentang-mentang kereta mahal, ingat parking itu dia yang punya." Bagi Norintan Shafikah pula, pemilik kenderaan seharusnya memikirkan kesan ke atas tindakannya itu yang mungkin boleh mengundang kejadian yang merugikan diri sendiri. "Dia tak risau ke akan ada orang buat gores dan menang kat kereta dia tu?" tulisnya. Gambar kiriman Arshad Mohd yang dimuat naik ke pengendali laman Facebook Oh! Media turut menunjukkan sekeping nota yang ditulis dalam dwi-bahasa sebagai pesanan kepada pemilik kereta berkenaan. "Ini bukan tempat parking, ini laluan pejalan kaki. Tolong jangan mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang lain," menurut nota tersebut. Nota yang ditinggalkan pada cermin kereta hadapan pemilik kenderaan tersebut. Setakat ini, posting tersebut sudah menerima lebih 1,600 reaksi, 479 komen dan 156 perkongsian. Pada 24 Julai lalu, pihak media melaporkan bahawa pemilik MRT terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit untuk membaiki kerosakan yang disebabkan oleh perbuatan vandalisme biarpun baru seminggu beroperasi pada ketika itu. Pengguna yang tidak bertanggungjawab turut membuang sampah termasuk puntung rokok dan memecahkan lampu di kawasan stesen MRT sekaligus mencalarkan imej projek pengangkutan awam yang bernilai RM21 bilion itu.