suria

Cuti Ogos, September 'Mewah'

PETALING JAYA: Mungkin ramai yang menantikan ketibaan bulan kelapan dan sembilan tahun ini kerana Ogos serta September 2017 bagaikan 'mewah' dengan bilangan cuti sebanyak 17 hari merangkumi cuti umum, persekolahan dan hujung minggu.

Tentunya ada yang telah mula merancang percutian bersama keluarga kerana cuti pertengahan penggal persekolahan akan bermula 26 Ogos hingga 3 September ini.

Minggu akhir bulan ini juga negara bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-60 pada 31 Ogos yang jatuh pada Khamis, seterusnya disambung dengan cuti sempena Hari Raya Aidiladha pada hari berikutnya, 1 September dan ditambah dengan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

Pada  Sabtu minggu berikutnya, rakyat Malaysia akan menyambut Ulang Tahun Rasmi Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagi tahun ini yang dipinda dari 29 Julai ke 9 September.

Seterusnya pada minggu ketiga September pula, rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Malaysia (16 September), yang juga jatuh pada Sabtu.

Rakyat Malaysia sekali lagi dapat menikmati cuti umum pada Jumaat minggu keempat bulan tersebut (22 September) iaitu cuti Awal Muharram.

Disebabkan cuti Awal Muharram jatuh pada Jumaat, dijangkakan ramai rakyat Malaysia akan mengambil cuti pada Isnin, bersambung dengan cuti hujung minggu selama dua hari.

Malah, ramai juga tentunya akan menggunakan peluang ini untuk menghabiskan cuti tahunan masing-masing memandangkan pada waktu itu 2017 akan melabuhkan tirainya tiga bulan lagi.

Bagaimanapun, untuk pekerja sektor awam, tiada cuti ganti diberikan untuk cuti umum yang jatuh pada Sabtu.

Ini termasuklah mereka yang bekerja di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang mana cuti ganti hanya akan diberikan untuk cuti umum yang jatuh pada Jumaat sahaja.

Ini bermakna pekerja sektor kerajaan di empat negeri ini akan bercuti pada Isnin, 4 dan 25 September bagi menggantikan cuti Aidiladha dan Awal Muharram yang jatuh pada Jumaat.

Cuti hujung minggu bagi empat negeri tersebut adalah pada Jumaat dan Sabtu, berbeza dengan negeri-negeri lain yang bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa terdapat majikan sektor swasta yang memberikan cuti ganti kepada pekerja mereka walaupun cuti kelepasan am jatuh pada Sabtu.

cuti umum, cuti Persekutuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan