suria

Bayi Maut Muka Tersembam

Foto kredit: Sinar Harian

GEORGETOWN: Seorang bayi lelaki meninggal dunia dipercayai kesukaran bernafas apabila mukanya tersembam ke bantal di rumah keluarganya di Teluk Kumbar, Bayan Lepas awal pagi Rabu.

Menurut ibunya, Melati Mohammad @ Ahmad, 32, ketika kejadian, anak bongsunya, Faris Rayyan Qhumainy, empat bulan berada di rumah bersama suaminya, Faizul Firdaus kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Melati berkata, kejadian itu disedari olehnya selepas pulang dari kerja dari sebuah kilang kira-kira jam 7.30 pagi.

"Pada jam 4 pagi, suami saya bangun dan menukar lampin serta memberi anak saya susu. Sejak kebelakangan ini, anak saya suka tidur dalam buaian apabila terbangun pada waktu pagi. Selepas menukar lampin dan memberinya susu, suami saya meletakkan anak saya ke dalam buaian yang diletakkan bantal bagi keselesaan anak saya.

"Kemungkinan anak saya meniarap dalam buaian kerana dia baru boleh meniarap dalam dua tiga hari lalu. Ketika itu, saya rasa dia tersembam ke bantal yang membuatkan dia tidak boleh bernafas. Suami saya tidak sedar kerana anak saya tidak menangis," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Rabu.

Menurutnya, ketika dia pulang dari kerja, dia mendapati anak bongsu dari empat beradik itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pucat dalam keadaan tertiarap.

"Saya dan suami terus membawanya ke Hospital Balik Pulau namun doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia.

"Mayat anak saya dibedah siasat di sini (Jabatan Forensik HPP) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu, Teluk Kumbar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.-Sinar Harian

Anak Tersembam, meinggal Dunia

Artikel Sebelum

Harga Bahan Api Naik

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan