suria

MH370: Tunggu Persetujuan China, Australia - Aziz

Ab Aziz Kaprawi.

PETALING JAYA: Keputusan sama ada menerima atau tidak tawaran bantuan sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan dibuat dalam waktu terdekat, kata Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Timbalan Menteri Pengangkutan itu ketika dihubungi mStar Online berkata, pada dasarnya perbincangan sedang dibuat bersama kementerian melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau turut memberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang berurusan dengan pihak berkuasa China dan Australia berhubung tawaran berkenaan dalam merungkai misteri kehilangan MH370.

“Berdasarkan perjanjian sekiranya tawaran tersebut diterima, sebarang kos pencarian adalah percuma yang ditanggung syarikat itu sehingga berjaya menemukan bangkai pesawat dan kotak hitam yang akan merungkai mengenai kehilangan MH370," katanya.

Ditanya bagaimana sekiranya hanya serpihan pesawat MH370 yang berjaya ditemui, Ab Aziz berkata: "Perkara itu sedang dibincangkan kerana kita nak mereka jumpa bangkai pesawat termasuk kotak hitam. Kalau tak jumpa kotak hitam, tak selesai masalah. Kalau jumpa kedua-duanya baru capai matlamat."

Aziz berkata, Malaysia juga sedang berurusan dengan pihak berkuasa China dan Australia bagi mendapatkan persetujuan kedua-dua negara itu bagi menanggung kos bersama sekiranya penemuan berjaya.

“Mereka meletakkan satu harga yang agak tinggi. Jadi, harga itu perlu ditanggung oleh ketiga-ketiga negara. Setakat ini, kita masih belum dapat persetujuan dari China dan Australia.

"Semuanya masih dalam proses perbincangan, keputusan akan diumumkan dalam waktu terdekat,” katanya yang enggan mendedahkan ‘harga’ tersebut.

Dilaporkan sebuah syarikat penerokaan dasar laut AS yang dikenali sebagai Ocean Infinity sedia merungkai misteri kehilangan pesawat MH370.

Ocean Infinity menerusi kenyataan dalam laman webnya berkata, pihaknya mempunyai kenderaan dalam air paling canggih di dunia untuk menjalankan pemetaan, kajian dan pencarian di dasar laut.

Berdasarkan tawaran, firma AS itu sedia melaksanakan operasi pencarian secara percuma dan hanya meminta ganjaran sekiranya pesawat malang itu ditemukan.

Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru.

Ab Aziz Kaprawi, MH370

Artikel Sebelum

Nasib Si Pemandu Teksi

Artikel Berikut

Artikel Lain