suria

Syarikat AS Tawar Khidmat Percuma Cari MH370

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat (AS) sedia merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 apabila menawarkan bantuan untuk mencari pesawat itu.

Syarikat yang dikenali sebagai Ocean Infinity itu mengemukakan tawaran itu pada Rabu dan perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi melalui pesanan teks kepada Reuters.

Ocean Infinity menerusi kenyataan dalam laman webnya, berkata, pihaknya mempunyai kenderaan dalam air paling canggih di dunia untuk menjalankan pemetaan, kajian dan pencarian di dasar laut.

Bagaimanapun Aziz berkata, pihah berkuasa Malaysia telah menerima tawaran tersebut tetapi belum memutuskan untuk sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Berdasarkan tawaran, firma AS itu sedia melaksanakan operasi pencarian secara percuma dan hanya meminta ganjaran sekiranya pesawat malang itu ditemukan.

Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru.

Siasatan menyeluruh berdasarkan analisis data radar dan satelit komunikasi menunjukkan tindakan pihak tertentu di dalam kapal terbang itu mematikan transponder pesawat sebelum melencongkannya ribuan kilometer ke Lautan Hindi.

Usaha mencari pesawat itu digantung pada Januari lalu selepas kerjasama antara Australia, Malaysia dan China yang menelan belanja AS$159.16 juta, gagal membuahkan hasil.

Sementara itu, pakar mencari bangkai kapal, David Mearns berkata, misi pencarian pesawat MH370 perlu diteruskan kerana peratusan untuk menyelesaikan misteri kehilangan kapal terbang terbabit sangat tinggi.

Mearns juga menyuarakan keyakinan bahawa pesawat terbabit akan ditemukan dan harapan untuk meneruskan misi pencarian masih ada.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku pada pesawat itu dan tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

"Jika kita kita menemukannya, perkara paling penting adalah tidak mengabaikannya dan beralih ke lokasi baharu," katanya. -  IBT

MH370, Aziz Kaprawi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain