suria

Nak Timbang Apa Kalau Macam Ni?

PETALING JAYA: Wanita dan membeli-belah memang tidak dapat dipisahkan, lebih-lebih lagi apabila semuanya kini hanya di hujung jari.

Namun, bagi jurusolek sepenuh masa, Anna Fuzzana Ridduan, 30, sesuatu yang sungguh melucukan berlaku ketika membuat pesanan dalam talian dan perkara itu tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

Semuanya berpunca apabila ibu kepada seorang cahaya mata itu berhasrat ingin menurunkan berat badan untuk meningkatkan keyakinan diri.

Dalam tempoh 4 jam, postingnya mengenai pengalaman membeli alat penimbang berat daripada laman e-dagang terkenal itu tular pada petang Khamis sehingga dikongsi lebih 24,000 kali.

"Saya terkejut bila bungkusan yang diterima sungguh kecil berbanding saiz alat penimbang berat badan yang biasa terdapat di pasaran. Nak timbang apa kalau macam tu?

"Sudahlah tunggu sampai seminggu. Tiba-tiba yang dihantar adalah replika sebesar ibu jari sahaja. Suami pula hanya gelakkan saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tambah wanita itu, dia terpaksa akur apabila ada gurauan nakal daripada pengikutnya di Facebook yang menyifatkan golongan wanita tidak berfikir panjang ketika ingin berbelanja.

Ini kerana laman web tersebut secara jelas sudah menyatakan bahawa produk itu adalah sejenis alat penimbang aksesori bagi dekorasi mini rumah anak patung.

"Bila tengok je harga RM12 seunit, saya terus klik untuk beli sebab kalau di luar pun beza beberapa ringgit je.

"Ini memang kesilapan diri sendiri. Tapi kalau barangan yang nak dibeli tu mahal, saya akan baca banyak kali lah," jelasnya sambil berseloroh.

Kata Anna Fuzzana, dia memuat naik posting tersebut dengan niat ingin berkongsi tentang kisah lucu itu namun tidak menyangka ia tular sehingga menyebabkan telefon bimbitnya tidak dapat digunakan sementara waktu.

Wanita tersebut bercadang untuk menyimpan replika berkenaan sebagai kenangan agar dia tidak mengulangi kesilapan itu pada masa akan datang.

Anna Fuzzana

Artikel Berikut

Nasib Si Pemandu Teksi

Artikel Lain