suria

"IG Saya Bukan Bahan Gelak"

PETALING JAYA: Ramai antara kita menggunakan media sosial untuk tujuan promosi, meluahkan emosi, malah untuk tujuan bergurau senda atau mencetuskan kontroversi, tetapi tidak bagi bapa kepada tiga anak ini.

Iman Wan, 51, bukanlah seorang artis popular yang mempunyai jutaan pengikut atau mendapat ratusan ribu ‘like’ setiap kali membuat posting media sosial, tetapi ada sesuatu yang mampu menarik netizen untuk 'singgah' ke laman Instagramnya.

'Posting'nya yang menyentuh hati masyarakat dan keikhlasan yang ditunjukkan dalam berkongsi kisah dan realiti hidup keluarganya - keluarga autisme sedikit-sebanyak telah membuka mata banyak pihak.

Apabila melihat gambar dan video anak keduanya, Adam Wan, 16, sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja, ia mampu membuatkan netizen leka, sekali gus mendapat gambaran lebih jelas tentang realiti atau dunia autisme.

Madah atau kata-kata semangat yang dimuat naik untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang autisme, gelagat setiap ahli keluarganya yang sentiasa tenang dan ceria ketika berdepan amukan Adam turut menjadi inspirasi, khususnya buat ibu bapa yang dikurniakan anak syurga ini.

Tanpa rasa segan atau malu, bekas komposer ini tidak teragak-agak untuk memuat naik video Adam ketika sedang mengamuk di pasaraya atau berguling-guling di tempat awam.

Beliau juga pernah menunjukkan bagaimana dapur rumahnya comot gara-gara Adam tiba-tiba naik angin dan mencampakkan mangkuk kari ketika mereka sekeluarga sedang makan.

Iman Wan ketika dihubungi mStar Online berkata laman 'Adamsautismfamily' diwujudkan bagi membolehkan beliau dan keluarga dapat terus berhubung dengan rakan-rakan dan dunia luar.

"Bukan untuk gelak-gelak, buat kontroversi, tulis perkara negatif atau luah perasaan.

"Saya gunakan media sosial untuk prinsip yang saya percaya boleh bawa kebaikan kepada masyarakat, saya cuba buat sesuatu yang lain dan dapat bertahan lama," katanya.

Katanya, sejak Adam disahkan autistik 14 tahun lalu, kehidupan keluarganya berubah sepenuhnya, malah beliau dan isteri, Norhaida Hasan, 44, terpaksa berhenti kerja dan bekerja dari rumah.

"Dulu kami terkurung dalam dunia dan rumah sendiri, saya hilang ramai kawan.

"Sekarang bila media sosial popular, kami sedar inilah cara untuk kami terus berhubung dengan dunia luar sebab mustahil untuk ibu bapa kepada anak autisme macam kami dapat lepak dan bercerita di kedai mamak lagi," katanya.

Mempunyai dua lagi anak, Arena Wan, 18, dan Aramysara Wan, enam, Iman Wan berkata beliau dan isteri akan menghabiskan 75 peratus masa mereka dalam sehari bagi memberi tumpuan terhadap Adam.

Jelasnya, beliau semakin aktif memuat naik tentang aktiviti, kerenah dan ragam Adam apabila mendapat reaksi positif daripada orang awam yang tidak pernah dikenalinya, tetapi sangat berminat untuk menyelami dunia autisme.

Berdasarkan komen-komen yang ditinggalkan, Adam juga dilihat menjadi kesayangan ramai, selain ramai yang terharu melihat ketabahan pasangan suami isteri ini.

"Dulu saya pun malu nak 'upload', takkan kami nak kongsi kekurangan anak kami ketika orang lain berkongsi tentang anak mereka yang pandai belajar.

"Tapi bila ramai yang nak tahu tentang Adam dan realiti hidup kami, saya terus membuat lebih banyak posting," katanya.

Menurut Iman Wan, beliau dan isteri akan merakam aktiviti dan kerenah Adam secara spontan, sebelum rakaman itu disunting dan dimuat naik di Instagram.

Jelasnya, beliau akan memastikan setiap posting mempunyai mesej atau satu gambaran untuk disampaikan kepada masyarakat.

"Contohnya kami dah berjanji dengan seseorang, tapi terpaksa batal sebab Adam tiba-tiba mengamuk.

"Kami bukan tak bersosial langsung, cuma kadang-kadang kami akan berjumpa dengan orang yang memang 'kenal' Adam atau pilih untuk pergi tempat tertentu sahaja," katanya.

Bercerita lanjut, Iman Wan berkata apabila mempunyai anak autistik, ia akan memberi kesan kepada kehidupan seluruh ahli keluarga.

Katanya, ibu bapa perlu mengorbankan kehidupan mereka dan sentiasa berfikiran positif apabila diduga dengan ujian seperti ini.

Beliau juga tidak lupa berkongsi tentang televisyen, telefon bimbit, iPad yang telah banyak menjadi 'mangsa' Adam selain tindakannya menghantukkan kepala di dinding dan mencakar diri sendiri.

"Betulkan minda dan pemikiran, kita boleh mencipta kehidupan terbaik dengan kehadiran anak istimewa ini," katanya.

Menyedari ada individu yang memandang serong terhadap apa yang dilakukannya, beliau menegaskan bahawa apa yang dimuat naik di media sosial bukan bertujuan mendapatkan simpati masyarakat.

"Saya tak minta duit sesiapa, saya tak tunjuk miskin, tak tunjuk saya tak makan atau tak mampu jaga Adam, cuma saya nak orang sedar kehidupan setiap keluarga itu berbeza.

"Tak apa nak mengata saya, itu lumrah media sosial, kalau suka mereka boleh terus ikut," katanya.

Setakat ini Adamsautismfamily mempunyai lebih 10,000 pengikut dengan lebih 900 posting.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain