suria

Lebih 270 Jemaah Terkandas

Asyraf (berdiri, kanan) semasa sesi perjumpaan bersama kira-kira 276 jemaah haji yang terkandas di Hotel Grand BlueWave di Shah Alam, Khamis malam. Foto Facebook DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

PETALING JAYA: Lebih 270 jemaah haji terkandas kerana masalah visa sejak Khamis malam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi mStar Online berkata, kira-kira 276 jemaah yang terkandas, ditempatkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Hotel Grand BlueWave, Shah Alam, manakala sebahagian lagi di Kompleks Tabung Haji (TH), Kelana Jaya.

Bagaimanapun katanya, masalah tersebut dapat diselesaikan secara berperingkat sejak awal pagi Jumaat.

“Dah banyak dah selesai termasuk yang sudah diterbangkan ke Arab Saudi sebelum itu, namun ada sebahagian lagi yang masih dalam proses,” katanya.

Asyraf menerusi ‘posting’ di Facebooknya pada Khamis malam memberitahu beliau mengadakan pertemuan dengan 276 jemaah haji terkandas, yang ditempatkan oleh pihak Tabung Haji di Hotel Grand Blue Wave.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa masalah jemaah haji yang terkandas tahun ini berikutan visa-visa yang diluluskan dan telah diproses di peringkat TH, namun mengalami masalah apabila tercicir daripada sistem pemprosesan visa di pihak Kementerian Luar Arab Saudi.

Beliau menambah, keadaan tersebut berikutan beberapa prosedur ketat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi tahun ini kerana melibatkan isu-isu keselamatan di Makkah dan Madinah.

Bagaimanapun Asyraf menjelaskan bahawa bukan semua yang terkandas itu disebabkan masalah visa tetapi kerana sebahagiannya ditemani mahram.

“Contohnya, jika suami mengalami masalah visa, pihak TH menasihatkan isteri menunggu dahulu untuk pergi bersama. Itu yang menyebabkan jumlah (terkandas) banyak. Tapi bukan semua yang bermasalah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat TH ketika dihubungi pula berkata, jumlah yang terkandas sentiasa berubah berikutan masalah berkaitan visa telah diselesaikan dan sebahagian lagi masih dalam proses.

“Kira-kira 500 kes berkaitan isu visa telah diselesaikan. Sejak hari pertama (29 Julai), lebih 14,000 jemaah haji Malaysia kini berada di tanah suci,” katanya sambil menambah TH akan terus memastikan urusan jemaah berjalan lancar sehingga penerbangan terakhir pada 26 Ogos ini.

Jurucakap itu berkata, TH memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi bakal jemaah berikutan isu visa.

“Kami berharap semua bakal jemaah dapat bersabar dan berdoa agar semua urusan dipermudahkan. Pihak TH melakukan yang terbaik untuk para jemaah dan bekerjasama rapat dengan pihak Arab Saudi,” katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Komunikasi Korporat TH dalam satu kenyataan pada Jumaat memberitahu, bakal jemaah haji yang mahu mendapatkan status terkini permohonan visa dinasihatkan untuk merujuk di bilik gerakan, Tingkat 1, Kompleks TH di Kelana Jaya yang beroperasi 24 jam.

“Untuk memastikan kebajikan para jemaah ini terjaga, TH menyediakan penginapan serta makan dan minum di Kompleks TH, Kelana Jaya dan hotel-hotel berdekatan bagi mereka yang memerlukan. 

“TH amat prihatin dan sedang berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan masalah visa ini secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

Jemaah Haji, Tabung Haji

Artikel Sebelum

FIC: Dua Lagi Direman

Artikel Berikut

Artikel Lain