suria

Kerajaan Tarik Balik RUU Pinda Akta Perkahwinan, Perceraian

Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Isnin menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) menghalang penukaran agama sepihak, yang kini di peringkat bacaan kedua.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

RUU itu disenaraikan pada nombor ke-10 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul pada Isnin.

Sebelum ini ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada November tahun lalu dan ditangguhkan untuk bacaan kali kedua pada Isnin.

Pindaan dengan menggugurkan Fasal 88A pada akta berkenaan dibuat bagi mengelak amalan penukaran agama anak-anak secara unilateral (persetujuan sebelah pihak).

Dalam satu kenyataan, Azalina berkata, pindaan itu dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga selaras dengan prinsip doktrin stare decisis yang mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat," katanya.

Menurut Azalina, notis pemberitahuan terhadap RUU baharu telah dihantar kepada Dewan Rakyat.

"Kerajaan berharap semua pihak mengambil perkara ini secara positif demi memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat negara ini.

"Justeru semua pihak diharap menyokong RUU baharu ini dan tidak mempolitikkan isu ini," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain