KOTA KINABALU: Seekor gajah pygmy betina ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan dekat Hutan Simpan Maula di Kinabatangan, Sabah. Ketika ditemui, gajah tersebut masih hidup dan cuba diselamatkan oleh Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar tetapi gagal akibat kecederaan yang dialami haiwan itu. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga tidak dapat dihubungi walaupun pasukan ranger telah menyiasat insiden tersebut selepas mereka dimaklumkan mengenainya tiga hari lalu. Pengarah Lapangan Danau Girang, Dr Benoit Goossens berkata, belum dipastikan sama ada gajah berkenaan menjadi mangsa pemburu. "Ia merupakan gajah betina, tidak mempunyai gading. Tiada daging yang diambil. Belum mengenal pasti punca kejadian," katanya ketika dihubungi. Dipercayai gajah itu ditembak di kawasan Hutan Simpan Maula sebelum ia ke kawasan ladang berhampiran dalam keadaan cedera dan ditemui pekerja ladang. Menurut laporan Harian Metro memetik Augustine sebagai berkata, pegawainya bersama doktor haiwan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian haiwan berkenaan. "Hasil pemeriksaan, kita temui tiga kesan tembakan, namun belum dapat dipastikan kerana saya masih menunggu laporan pegawai yang menjalankan siasatan," katanya.