suria

Masalah Yang Paling Besar...

GAMBAR HIASAN

ISNIN sepatutnya menjadi hari yang penuh semangat dan ceria kerana setelah menikmati dua hari rehat iaitu Sabtu dan Ahad, semua orang mahu masuk pejabat dengan hati yang tenang dan senang.

Tetapi tidak bagi kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana pagi-pagi buta lagi mereka terpaksa membuat satu hebahan segera untuk memaklumkan kepada umum berhubung penyebaran berita palsu kemasukan murid-murid ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun hadapan kini telah dibuka.

Berita palsu itu telah dimuatkan di dalam laman sesawang palsu. Ia menjadi tular akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam media sosial.

Iklan berkenaan telah dimuatnaik melalui laman www.caripanduan.com dengan menggunakan printscreen portal permohonan ke SBP bagi tahun 2017.

Menurut KPM, maklumat yang tertera di dalam laman sesawang berkenaan adalah menggunakan maklumat yang telah digunakan bagi permohonan tahun 2017 tetapi tajuk iklan bagaimanapun telah ditukar kononnya bagi pengambilan sesi 2018/2019.

KPM menegaskan bahawa hebahan iklan melalui laman sesawang tersebut tiada kaitan dengan mereka.

Sehubungan dengan itu, KPM telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuat iklan tersebut.

Hairan sungguh. Apa tujuan iklan ini dibuat kita pun tidak faham.

Sebenarnya, masalah yang paling besar ialah bukan setakat iklan palsu tersebut tetapi sikap netizen yang membantu menyebarkan iklan palsu itu sehingga menjadi tular sehingga akhirnya mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

Kecenderungan netizen ialah mahu berlumba-lumba di antara mereka siapakah menjadi yang pertama dan yang paling pantas dalam menyebarkan maklumat seperti ini. 

Bukan pertama kali kejadian seumpama ini berlaku tetapi Mereka tidak sedar, perbuatan mereka itu sedikit pun tidak membantu masyarakat malah sebaliknya membantu mengembangkan budaya penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial. 

Media sosial akhirnya menjadi pentas penyebaran bahan-bahan palsu dan separuh benar. Ironinya, ia masih dipercayai dan ditelan bulat-bulat sebagai benar dan betul. 

Hakikat bahawa ia menjadi viral dan dikongsi berkali-kali ganda menunjukkan mentaliti pengguna media sosial untuk mempercayainya tanpa mahu berfikir sama ada ia benar atau tidak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain