suria

“Mak Apa Tau?” – Cikgu Jefferi

Jefferi tidak mahu lagi kembali ke dunia pondan sebaliknya kerap memuat naik kata-kata motivasi untuk mengajak pondan lain agar bertaubat. - Facebook/ Cikgu Jefferi

PETALING JAYA: Selepas kisah seorang pondan yang bertaubat tular di laman sosial sejak Khamis lalu, kini lelaki itu mendedahkan detik hitam yang menjerumuskan dirinya ke dalam dunia songsang itu.

Kenangan pahit yang disimpan kemas dalam lipatan memori tanpa pengetahuan sesiapa kecuali arwah ibunya itu disingkap demi mengingatkan agar ibu bapa sentiasa berwaspada dengan keselamatan anak mereka.

Air mata yang ditahan akhirnya tumpah saat lelaki yang selesa disapa Cikgu Jefferi itu menceritakan bagaimana dia mengalami penderaan seksual seawal usia lima tahun.

"Mak apa tau? Mak apa tau?", itulah ayat yang dilontarkan kepada ibunya sewaktu si ibu menyuruh Jefferi mengulangkaji pelajaran selepas mendapati pelajarannya merosot.

Detik hitam yang menimpa dirinya hanya diceritakan kepada ibu tercinta pada hari-hari terakhir hayat wanita itu.

Kata Jefferi, ibunya hanya mampu menangis dan tidak dapat berkata apa-apa kerana tidak mengetahui penderitaan yang ditanggung anak lelakinya selama ini.

Arwah ibu kepada bekas guru itu meninggal dunia akibat gastrik pecah pada September 2009.

Pengakuan itu dibuat melalui penstriman langsung selama hampir 30 minit di Facebook pada pagi Isnin.

Usahawan kecantikan itu menyimpan rahsia tersebut kerana tidak ingin ia diketahui oleh sesiapa sehingga sering mengasingkan diri daripada orang di sekelilingnya.

Penderaan seksual ke atasnya berlanjutan sehingga masuk ke alam persekolahan dan remaja, malah dia masih dicabul ketika meneruskan pengajian di maktab perguruan dan kejadian terkini berlaku pada awal bulan ini.

"Bila saya dah taubat, masih lagi ada lelaki-lelaki yang cuba untuk melakukan hubungan seksual terhadap saya.

"Benda ini perlu dihentikan. Anda semua sayang anak-anak. Betul tak? Kenapa mesti orang lain hancurkan anak kita? Perilaku songsang orang dewasa yang dilakukan ke atas kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku," katanya sambil mengalirkan air mata.

Bapa kepada tiga orang anak angkat itu berkata bahawa ibu bapanya tidak pernah rela membiarkan dia bergelar seorang pondan tetapi imaginasi seksual yang telah diubah sejak kecil oleh pelaku-pelaku jenayah seksual membuatkan dirinya mengalami kecelaruan.

Cikgu Jefferi

Artikel Berikut

Artikel Lain