suria

Exco P.Pinang, Dua Beranak Direman Lima Hari

GEORGE TOWN: Seorang anggota exco kerajaan Pulau Pinang ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Perintah reman sehingga 16 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini, Sabtu.

Bagaimanapun pihak peguambela akan memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman terhadap exco itu.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap lelaki dua beranak, masing-masing berusia 70 dan 37 tahun, yang merupakan pengarah dan pengurus kilang berkenaan.

Exco terbabit yang memegang portfolio penting dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu  serta dua beranak yang berbaju lokap SPRM dan bergari,  tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki tiga kenderaan sambil diiringi pegawai SPRM pada 10.10 pagi.

Exco yang berusia 66 tahun dan lelaki dua beranak itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Peguam R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh mewakili exco itu manakala dua beranak terbabit diwakili peguam Dev Kumaraendran.

Rayer berkata pihaknya akan cuba untuk memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman lima hari terhadap anggota exco berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Sabtu.

Terdahulu, beberapa exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan anggota dewan undangan negeri (Adun)  bersama penyokong exco itu berkumpul di perkarangan mahkamah dengan membawa sepanduk sebagai tanda solidariti kepadanya.

SPRM menahan exco berkenaan pada  3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama Rayer selepas pejabatnya di tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada  11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada pukul 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan pada 6.25 petang semalam, juga di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Adun Penanti daripada Parti Keadilan Rakyat Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. -Bernama

Pee Boon Poh, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dua Maut Dihempap Kren

Artikel Lain