SEREMBAN: Seorang pemandu lori tangki yang membawa muatan asid kimia maut, manakala dua parah dalam kemalangan antara sebuah lori dan sebuah kereta, awal pagi Sabtu. Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kemalangan pada 3 pagi di KM251.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran tol Senawang itu mengakibatkan lori tangki berkenaan terbalik. "Mangsa, Surazru Mohamed Sakeri, 37, maut di tempat kejadian manakala dua wanita berusia lingkungan 30an yang menaiki kereta Toyota Vios cedera parah. "Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat dan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan pada 3 pagi dan tiba di lokasi kejadian 14 minit kemudian. "Seramai 20 anggota dari Balai Bomba Senawang, Seremban 2 dan Rembau termasuk pasukan hazmat dikerahkan ke lokasi kejadian. "Pada masa ini kerja-kerja pembersihan masih dilakukan dan setakat ini trafik sesak hingga empat kilometer menghala ke selatan," katanya.-- Bernama