suria

Tonton Majlis Persandingan Tunku Aminah Di Skrin Besar

JOHOR BARU: Orang ramai berkumpul di Dataran Bandaraya dekat sini untuk menyaksikan siaran langsung majlis perkahwinan kerabat diraja di dua skrin besar yang disediakan.

Ada di kalangan mereka datang seawal pukul 6 petang Isnin untuk melihat majlis persandingan puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama Dennis Muhammad Abdullah yang disiarkan secara langsung dari Istana Besar bermula pukul 8 malam.

Pekerja restoran, Noraslinda Ismail, 35, berkata dia tidak sabar untuk melihat majlis persandingan itu kerana Tunku Tun Aminah sentiasa menjadi idolanya.

"Tunku Aminah sentiasa menjadi inspirasi kepada saya dan walaupun saya belum pernah bertemu dengannya, beliau kelihatan seperti seorang yang lemah-lembut dan peramah.

"Saya tidak mahu terlepas peluang menyaksikan majlis persandingan itu, jadi saya mengambil cuti untuk berada di sini," katanya kepada The Star ketika ditemui di sini.

Mohammad Nur Haffis Rosman, 21, yang juga seorang peniaga berkata dia datang bersama saudaranya dengan menaiki lima kereta semata-mata untuk menyaksikan majlis persandingan itu.

"Kami amat teruja melihat pasangan diraja itu di skrin besar dan datang awal untuk mendapat lokasi tontonan yang baik malam ini," katanya.

Terdahulu, Tunku Tun Aminah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini, pagi Isnin.

Pasangan diraja itu dinikahkan oleh Mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Johor menjadi wakil rasmi baginda di majlis tersebut.

Tunku Tun Aminah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Dinosaur Hidup' Di Matic

Artikel Lain