suria

Tak Dapat Annabelle, Ayda Jebat Pun Boleh

Teknik solekan Nani yang mirip patung Annabelle dan pelakon Ayda Jebat. Foto Facebook Nani Sabri

PETALING JAYA: Hasrat seorang wanita untuk membuat video tutorial solekan menyerupai patung ‘Annabelle’ baru-baru ini terpaksa ditangguhkan sehari disebabkan kekangan masa.

Bagaimanapun, bagi menggantikan solekan watak utama dalam filem seram itu, wanita berkenaan tetap meneruskan sesi video tutorialnya dengan membuat solekan mirip wajah seorang pelakon wanita terkenal.

“Terkejut aku, ingatkan Ayda Jebat sungguh dah tadi,” kata seorang netizen di akaun Facebook milik Noor Hananil Huda Muhamad Sabri, 25.

Noor Hananil atau lebih dikenali sebagai Nani berkata, sesi solekan Annabelle terpaksa ditangguhkan kerana kesan khas dan dandanan rambut bagi patung itu memerlukan masa yang lebih lama. 

“Video tutorial semalam (Isnin) perlu diteruskan jadi sudahnya saya buat solekan seperti biasa. Tak dapat buat solekan Annabelle dulu, solekan Ayda Jebat pun boleh.

“Taklah sama, cuma saya gunakan produk kosmetik untuk menunjukkan pelbagai teknik yang boleh kelihatan seperti pelakon cantik ini,” katanya kepada mStar Online.

Teknik solekan mirip patung Annabelle.

Bagaimanapun Nani yang berhijab menjelaskan bahawa dia menyarungkan rambut palsu bagi menampakkan kesan solekan mirip Ayda.

“Rambut palsu yang sama juga saya gunakan untuk menyolek wajah seperti patung Annabelle hari ini (Selasa). Lama juga saya buat sampai lebih dua jam,” katanya.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, selain Ayda Jebat, dia turut pernah membuat video tutorial solekan mirip wajah selebriti lain seperti pelakon Faye Kusairi dan Wawa Zainal termasuk bintang Bollywood, Kareena Kapoor.

(Kiri) Nani dan (kanan) teknik solekan Nani yang mirip pelakon Ayda Jebat.

Mengenai solekan patung Annabelle, ia merupakan pertama kali dia membuat video tutorial bagi menampakkan wajah hodoh.

“Selama ini saya membuat solekan yang cantik saja. Tapi solekan itu adalah seni, jadi tak semestinya kita bermekap untuk nampak cantik.

“Kalau ada acara atau majlis tertentu yang memerlukan berwajah hodoh atau menyerupai sesuatu sebagaimana patung Annabelle, ia tetapi seni,” katanya yang merupakan pegawai pemasaran di sebuah syarikat kosmetik.

Annabelle, Ayda Jebat

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan